Suspek (gambar kecil) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, pagi ini. Foto oleh DANIAL SAAD/ KOSMO!
- Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
- 9 Jun 2026, 11:03 am
SEBERANG PERAI – Lelaki yang memandu trak pikap jenis Mitsubishi Triton secara berbahaya sehingga mencetuskan kekecohan di beberapa laluan sekitar Seberang Jaya semalam, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan Majistret J. Savinder Singh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bermula hari ini sehingga 12 Jun.
Reman berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan.
Dalam kejadian semalam, suspek berjaya ditahan oleh orang awam di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) berhampiran sebuah stesen minyak di Seberang Jaya sebelum diserahkan kepada polis.
Terdahulu, beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan sebuah pacuan empat roda dipandu suspek secara melulu termasuk mengundur di sekitar Seberang Jaya sehingga memasuki pembahagi jalan. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
9













































