Pemain profesional perlukan fasiliti, pasukan sokongan

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Bukan sekadar gelanggang latihan kondusif, tetapi khidmat sokongan turut diperlukan pemain-pemain badminton profesional negara yang berada dalam program Road to Gold (RTG) ke arah Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).

Itu pendapat bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying berhubung inisiatif Jawatankuasa RTG yang sedia mencari pusat latihan yang lebih privasi bagi menjamin prestasi terbaik.

Liu Ying yang pernah bergelar pemain profesional sebelum menggantung raket mengakui, mereka tidak memiliki fasiliti serta kemudahan-kemudahan seperti dinikmati pemain yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Saya rasa sokongan yang diberikan, terutamanya dari RTG kepada pemain-pemain profesional memang sangat penting kerana fasiliti kita tidak sebaik pemain-pemain yang berada dalam skuad kebangsaan.

“Kita bukan sahaja perlukan satu tempat yang privasi, malah pasukan sokongan juga penting sekiranya pemain ada mengalami kecederaan. Kemudahan-kemudahan itu sangat penting,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kidslympic Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Tambah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, pakar fisioterapi juga diperlukan pemain-pemain profesional, terutamanya jika mereka terpaksa beraksi lebih tiga kejohanan berturut-turut.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan Jawatankuasa RTG yang diselaraskan Datuk Stuart Ramalingam akan membantu pemain-pemain profesional seperti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Soon Huat-Shevon Lai bagi mencari gelanggang latihan lebih kondusif.

Sementara itu, mengulas mengenai Kidslympic Malaysia 2025, Liu Ying menjangkakan penyertaan 5,000 peserta pada temasya sukan untuk kanak-kanak itu yang akan diadakan di Stadium Merdeka pada 10 hingga 12 Oktober depan.

“Tahun lepas merupakan penganjuran sulung, jadi tahun ini kita sasarkan 5,000 penyertaan. Tujuan kita adalah untuk menggalakkan anak-anak terlibat dalam sukan selain menjadi platform mencungkil bakat baharu,” ujarnya yang merupakan pengasas bersama Kidslympic Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |