Pelaburan swasta domestik hidupkan semula aset usang, ekonomi setempat

17 hours ago 10

KUALA LUMPUR – Usaha pelaburan swasta domestik berupaya menghidupkan semula aset usang selain dapat merancakkan ekosistem ekonomi setempat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, ini dibuktikan menerusi pembangunan semula Brisdale International Hotel Kuala Lumpur menerusi pelaburan domestik yang direalisasikan oleh syarikat tempatan dan bukan sekadar cadangan atau perancangan di atas kertas.

“Ini merupakan pelaburan modal swasta yang dilaksanakan oleh syarikat milik penuh tempatan dengan risiko dan tanggungjawab ditanggung sendiri oleh pihak pelabur,” katanya ketika berucap merasmikan hotel berkenaan di Jalan Haji Hussein berhampiran Kampung Baru di sini, hari ini.

Johari juga menyifatkan pelaburan sedemikian memerlukan keberanian dan keupayaan usahawan untuk menilai risiko dengan teliti sebelum melaksanakan sesuatu projek.

“Usahawan perlu berani mengambil risiko, tetapi risiko itu mesti dikira (diteliti). Dalam mana-mana bidang pelaburan, usahawan mesti pandai mengira risiko,” kata beliau.

Menurutnya, ini berikutan pembangunan semula sesebuah bangunan sedia ada adalah lebih mencabar berbanding pembinaan bangunan baharu di atas tanah kosong kerana pelabur perlu memahami keadaan struktur serta menentukan jenis kerja diperlukan.

Katanya, usaha itu turut melibatkan kemahiran dan pengalaman ZIKAY Group sebagai kontraktor yang bertindak menilai kos serta keperluan pembangunan semula bangunan berkenaan.

Selain itu, katanya, pembukaan hotel berkenaan turut mencatat perkembangan bermakna kepada masyarakat sekitar kawasan Raja Bot kerana mewujudkan sebuah ekosistem ekonomi dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

Pada masa sama, Johari berkata, industri perhotelan berkait rapat dengan sektor pelancongan yang menyumbang kira-kira RM300 bilion atau 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 selain mewujudkan kira-kira 3.5 juta peluang pekerjaan.

“Apabila sesebuah hotel itu berada dalam kawasan perniagaan, tahap aktiviti ekonomi di kawasan itu akan turut meningkat manakala keseluruhan ekosistem akan terus berkembang,” kata beliau. – BERNAMA

Read Entire Article
Pertanian | | | |