PUTRAJAYA – Tiada istilah pengecualian buat mana-mana bintang sukan negara apabila kesemua atlet bertaraf dunia dan pemenang pingat Sukan Olimpik tetap akan dipertaruhkan bagi memperkuatkan kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2027.
Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA 2027, Datuk Iruan Zulkefli menegaskan, Malaysia selaku tuan rumah bersedia dengan misi memburu gelaran juara keseluruhan, sekali gus menuntut kehadiran barisan atlet terhebat negara.
Jelasnya, tiada atlet berprofil tinggi yang akan ‘direhatkan’ hanya kerana status mereka yang sudah mencipta nama di pentas Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik.
“Semua atlet terbaik yang berpotensi memenangi pingat akan beraksi. Tiada istilah atlet yang sudah bergelar juara di peringkat Sukan Asia atau pemenang pingat di Sukan Olimpik akan kita tinggalkan, tidak sama sekali.
“Ini bumi dan tanah air kita. Apabila kita menjadi tuan rumah, semangat juang kita pasti lebih membara dan matlamat utama kita sudah tentu mahu menjadi juara keseluruhan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kiraan Detik 365 hari menjelang Sukan SEA 2027 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Iruan menjelaskan kontinjen negara akan menampilkan gabungan seimbang antara atlet berpengalaman dengan barisan pelapis muda, selaras dengan misi jangka panjang mempersiapkan atlet ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
KETUA Kontinjen (CDM) Sukan SEA 2027, Datuk Iruan Zulkefli mengakui bahawa juara keseluruhan menjadi sasaran negara sewaktu menjadi tuan rumah Sukan SEA tahun depan.“Sebahagian juara kita sekarang sudah berstatus veteran, jadi kita perlukan pengganti baharu untuk meneruskan legasi terbaik. Sukan SEA ini adalah medan terbaik untuk kita mencungkil juara baharu dan memberi pendedahan kepada mereka sebelum melangkah ke temasya lebih tinggi,” jelasnya.
Memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, beliau menganggarkan Malaysia bakal mempertaruhkan kontinjen terbesar membabitkan kira-kira 1,300 orang atlet bagi mengibar cabaran dalam 43 jenis sukan.
Menyentuh mengenai sasaran pingat, Iruan tidak menolak kemungkinan kontinjen negara mampu mengulangi atau memecahkan rekod pencapaian 145 pingat emas yang pernah dilakar ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2017.
“Kita mampu untuk melakar rekod menjadi juara keseluruhan sekali lagi. Cuma jumlah sasaran pingat emas rasmi akan kita tentukan apabila senarai penuh acara dimuktamadkan kelak. Kalau kita boleh memecahkan rekod 2017, ia satu pencapaian yang luar biasa untuk negara,” tambahnya.
Temasya Sukan SEA ke-34 dijadual berlangsung secara bersepadu menerusi empat kluster penganjuran utama iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, selain acara pelayaran di Langkawi serta ekuestrian di Terengganu. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3











![[VIDEO] Cahaya misteri biru ‘mendarat’ di Kuala Nerus](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/cctv-cahaya-biru.jpeg)

![[VIDEO] ‘Dia main ketuk-ketuk pintu pula…’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/tular-viral-seram-pejabat.jpeg)





























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)





