KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menerusi pembukaan pejabat baharu cawangan Bandar Tasik Selatan (BTS) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Ia merupakan cawangan pertama di Kuala Lumpur yang beroperasi hingga pukul 10 malam selama tujuh hari seminggu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pejabat berkonsepkan model operasi metropolitan itu diwujudkan di lokasi strategik yang menjadi hab pengangkutan utama negara bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan JPJ.
“Ini merupakan pendekatan baharu dengan membuka pejabat JPJ di kawasan tumpuan bagi memudahkan pelanggan dan pengguna.
“Apabila orang ramai datang berurusan dengan JPJ, mereka juga boleh melakukan pelbagai urusan lain di sini. Ini membantu meningkatkan pengalaman pengguna dan mengurangkan masa menunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pejabat baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan di TBS, di sini hari ini.
Menurut beliau, cawangan itu beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari menerusi sistem syif, sekali gus menawarkan lebih fleksibiliti kepada pelanggan yang sukar berurusan pada waktu pejabat.
Katanya, fasiliti baharu itu mampu mengendalikan sehingga 1,700 pelanggan sehari berbanding 1,300 pelanggan di pejabat lama di Bandar Sri Permaisuri.
“Jika dilihat dari segi kecekapan, cawangan ini mampu melayan sehingga 1,700 pelanggan sehari dan pastinya dapat membantu mengurangkan kesesakan di cawangan lain,” ujarnya.
Pejabat baharu itu menggantikan cawangan Bandar Sri Permaisuri yang beroperasi sejak 2006 dan berdepan kekangan ruang serta peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan JPJ.
Selain susun atur yang lebih moden, cawangan itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan digital termasuk kiosk layan diri, aplikasi JPJeQ dan tablet bagi mempercepatkan urusan pelanggan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan dan JPJ akan terus memperkukuh agenda transformasi perkhidmatan menerusi penerapan teknologi dan inovasi bagi memastikan sistem penyampaian yang lebih cekap, inklusif dan responsif kepada keperluan rakyat. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2













![[VIDEO] ‘Terima kasih orang baik’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/a3bd61e2-d168-42e1-85b7-c25873991d08.jpeg)

































