PETALING JAYA – Tampil menjernihkan kekeliruan, peguam syarie mewakili Siti Khalizah Alihan iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd. Razif memaklumkan anak guamnya memang hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam bagi menarik semula permohonan cerai yang difailkan terhadap suaminya Fikry Ibrahim pada Mei lalu.
Menurutnya, Siti Khalizah membuat permohonan tersebut semalam dan perkara tersebut selari dengan kenyataan Fikry dalam program Melodi semalam.
“Ya, apa yang Fikry maklumkan semalam (dalam program Melodi) adalah betul.
“Saya sahkan bahawa Khalizah ada buat permohonan untuk tarik balik kes perceraian mereka,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Tambahnya, pihak hakim juga membuat keputusan untuk memberi peluang kepada Khalizah selaku plaintif dan Fikry (defendan) berbincang bagi meleraikan kemelut rumah tangga mereka.
“Sekarang diberikan laluan untuk mereka ruang bagi perbincangan perdamaian,” katanya lagi.
Pada prosiding semalam, Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin menetapkan sebutan semula kes pada 10 September depan.
Wan Muhammad Afiq sebelum ini memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.
Fikry bagaimanapun dalam program Melodi semalam memberitahu rumah tangga mereka tidak bermasalah dan menafikan semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya termasuk berkahwin secara paksa.
Dalam program sama, Fikry juga menjelaskan kehadiran isteri ke mahkamah adalah bertujuan menarik semula permohonan cerai.
Permohonan cerai berkenaan difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Terdahulu, Fikry dan Khalizah berkahwin pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis tertutup di Kedah yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat. – KOSMO! ONLINE