IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh aspek penugasan anggota dan logistik bagi memastikan proses pilihan raya negeri (PRN) susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan berjalan lancar, selamat dan terkawal.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, persiapan awal sedang dilaksanakan termasuk penilaian berhubung keperluan sumber manusia dan aset logistik.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan taklimat daripada Ketua Jabatan KDNKA di kontinjen terlibat bagi mengenal pasti keperluan sebenar sepanjang tempoh pilihan raya berkenaan.
“Kita akan membuat persiapan dan siap siaga dari segi penugasan, khususnya melibatkan sumber manusia dan logistik bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan baik, lancar dan selamat.
“Sekiranya keanggotaan di kontinjen yang terlibat tidak mencukupi, kita akan memohon bantuan kekuatan daripada kontinjen berhampiran bagi menampung keperluan penugasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) di Mes Pegawai Kanan Perak, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Datuk Noor Hisam Nordin yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) menyerahkan jawatan Ketua Polis Perak kepada Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin.
Sementara itu, mengulas keperluan logistik, beliau berkata, penilaian masih dijalankan memandangkan setiap negeri mempunyai keluasan kawasan, jumlah penduduk dan bentuk muka bumi yang berbeza.
“Penugasan akan ditentukan berdasarkan faktor-faktor tersebut kerana setiap kontinjen mempunyai keperluan yang tidak sama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi segala peraturan dan arahan yang ditetapkan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses PRN berlangsung.
Katanya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara, terutama di pusat-pusat pengundian dan kawasan yang terlibat dengan proses pilihan raya.
“Orang ramai perlu patuh kepada peraturan dan arahan pihak berkuasa supaya proses pemilihan berjalan dalam keadaan terkawal dan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
9















![[VIDEO] MB Negeri Sembilan umum bubar DUN berkuat kuasa 5 Jun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-04-at-23.44.18.jpeg)





























