ANTARA PATI yang ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan di Senai dan Ulu Tiram di Johor Bahru, Isnin lalu. Foto IHSAN IMIGRESEN
- Oleh MUHAMMAD ZIKRI
- 18 Jun 2026, 5:54 pm
JOHOR BAHRU – Cubaan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri dan bersembunyi di bawah katil serta ruang sempit premis gagal apabila mereka berjaya dikesan dan ditahan dalam Op Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Isnin lalu.
Dalam operasi yang dijalankan pada 16 Jun itu, seramai 71 PATI membabitkan warganegara Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India ditahan hasil serbuan ke atas 17 premis kediaman dan rumah kedai di kawasan Senai dan Ulu Tiram.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd. Darus berkata, ketika serbuan dijalankan, suasana menjadi kecoh apabila terdapat PATI yang cuba melarikan diri bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.
Mohd Rusdi berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa individu yang bersembunyi di bawah katil dan di ruang sempit dalam premis berkenaan bagi mengelak dikesan anggota penguat kuasa.
“Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Mereka telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Setia Tropika untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5















































