ALOR SETAR – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai senarai 235 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah Ke-83 di sini hari ini.
Mohd Nizam dianugerahkan Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (SSPK) yang membawa gelaran Datuk Seri Pahlawan.
Sultan Sallehuddin seterusnya berkenan mengurniakan Orang Besar Lapan kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi yang membawa gelaran Datuk Seri Indera Setia dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim yang membawa gelaran Datuk Seri Derma Wangsa.
Istiadat diikuti penganugerahan Darjah Dato’ Setia Pahlawan Negeri Kedah Yang Amat Dihormati (DSPK) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan kepada Panglima Angkatan Bersama Tentera Udara Diraja Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin dan Timbalan Panglima Tentera Laut Markas Tentera Laut Kuala Lumpur, Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin.
Seterusnya penerima bagi Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mohamad Yusoff Zakaria.
Sementara enam penerima Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk ialah Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Mahazi Ibrahim; Duta Besar Malaysia Ke Bahrain, Shazryll Zahiran; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli; Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Zainul Darus; Setiausaha Kehormat Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah, Ahmad Fatahi Omar dan Pengarah Eksekutif Fuji Electric Malaysia Sdn. Bhd., Chong Nee Hwa.
Sultan Sallehuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Datuk kepada Asisten Ketua Staf Cawangan Logistik Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Abd Hafiz Ahmad dan Pengarah ATM, Brigedier Jeneral Saiful Bahari Zainol.
Penganugerahan Setia Sultan Sallehuddin Kedah (SSS) diberikan kepada empat penerima dan Setia Diraja Kedah (SDK) pula kepada seramai lapan penerima.
Baginda turut berkenan menganugerahkan bintang dan pingat kebesaran Ahli Mahkota Kedah (AMK) kepada 34 penerima, Ahli Setia Pahlawan (ASP) kepada 11 penerima, Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (BCK) kepada 24 penerima.
Selain itu, Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) kepada 46 penerima, Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (ASK) kepada empat penerima, Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (PCK) kepada 27 penerima,
Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 41 penerima dan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL) kepada 22 penerima. – KOSMO! ONLINE