‘Operasi senyap’ TH, beg sudah ada di bilik sebelum jemaah tiba

2 hours ago 3

MEKAH – Beg tersusun rapi di bilik penginapan sebelum jemaah haji tiba ke Tanah Suci Mekah.

Demikian persediaan rapi yang dilakukan Tabung Haji (TH) sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia ke Mekah, apabila tersembunyi satu ‘operasi senyap’ yang digerakkan rapi bagi memastikan mereka tiba tanpa beban, khususnya selepas menempuh perjalanan kira-kira lapan jam dari Madinah.

Persiapan telah dilakukan lebih awal bermula daripada penyusunan bagasi di hadapan bilik hinggalah penempatan petugas di setiap laluan utama bagi melancarkan pergerakan jemaah.

Penolong Pengurus Maktab 63, Muhammad Fauzi Muniran berkata, pihaknya telah melakukan persiapan lebih awal sebelum menerima ketibaan jemaah dan memastikan mereka tidak terbeban sebaik tiba, terutama melibatkan pengurusan bagasi.

“Langkah ini amat membantu khususnya buat warga emas dan jemaah yang keletihan, sekali gus membolehkan mereka terus berehat sebaik tiba.

“Semua beg jemaah telah disusun lebih awal di luar bilik masing-masing mengikut tag dan kapasiti bilik.

“Ini bermakna apabila jemaah tiba, mereka tidak perlu mengangkat beg dari jauh kerana semuanya sudah tersedia di hadapan bilik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, susunan bilik turut dirancang secara teliti bagi memastikan keselesaan sepanjang berada di Tanah Suci.

“Kami meneliti senarai pe­nempatan lebih awal, khusus­nya bagi jemaah yang datang bersama keluarga.

“Jika melibatkan ibu bapa dan anak, kami akan pastikan mereka ditempatkan di aras yang sama walaupun berlainan jantina supaya mudah untuk berhubung dan saling membantu,” katanya.

Beliau berkata, aspek sensitiviti turut diberi perhatian termasuk susunan bilik antara jemaah lelaki dan wanita bagi memastikan keselesaan semua pihak.

Menurut Muhammad Fauzi, TH menyediakan tiga jenis bilik berkapasiti tiga, empat dan lima orang dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah bilik empat orang. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |