LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat seorang kru jet ski yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut di perairan Pulau Tepor, di sini semalam berdepan cabaran susulan keadaan cuaca kurang baik.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, ini kerana kelajuan angin di kawasan operasi dilaporkan antara 40 hingga 50 kilometer sejam serta ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter.
Katanya, terdapat juga kejadian ribut petir di beberapa lokasi sekitar radius pencarian.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika membaiki sebuah jet ski itu diaktifkan selepas Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada pukul 8.20 malam tadi.
“Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.12 malam di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika Timur Laut Pulau Tepor,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, aset Maritim Malaysia (APMM) iaitu Petir 81 telah diatur gerak ke lokasi kejadian pada pukul 8.55 malam tadi bagi melaksanakan pencarian awal.
“Usaha pencarian turut dibantu oleh beberapa kru jet ski yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala Angkatan Pertahanan Awam (APM) menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai,” ujarnya.
Menurutnya, operasi diteruskan bermula pukul 8 pagi tadi dengan pembahagian tiga sektor pencarian melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 2.54 batu nautika persegi.
“Bagi menyelaras operasi secara lebih berkesan, satu Pusat Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di kawasan Pantai Tengah berhampiran Hidden Langkawi. Operasi hari ini melibatkan tiga aset laut pelbagai agensi iaitu Bot Penyelamat 5 milik APMM, Bot Kevlar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Bot RIB APM,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
9







![[VIDEO] ‘Kejadian sekelip mata, saya dilambung dua kali’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-29-at-2.14.05-PM.jpeg)





































