Onn Hafiz tak berhasrat bertanding kerusi Parlimen

15 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau tidak mempunyai hasrat untuk bertanding di peringkat Parlimen kerana mahu terus memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta merealisasikan agenda Johor Maju 2030.

Menurut beliau, masih banyak perancangan dan inisiatif yang perlu dilaksanakan walaupun pelbagai kejayaan telah dicapai sepanjang lebih empat tahun menerajui pentadbiran negeri.

“Saya mahu terus fokus kepada Johor. Banyak perkara yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk aspek pelaburan, ekonomi, infrastruktur, perumahan rakyat serta kebajikan masyarakat.

“Bagi saya, yang lebih penting bukan sekadar angka pelaburan atau peningkatan hasil negeri, tetapi bagaimana manfaat itu dapat dirasai rakyat melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana di sini, semalam.

Onn Hafiz berkata, sekiranya diberi mandat sekali lagi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, beliau akan meneruskan agenda pembangunan yang sedang digerakkan bagi memastikan sasaran Johor Maju 2030 dapat direalisasikan.

“Setiap hari bagi saya adalah hari untuk bekerja dan berkhidmat kepada rakyat. Kita sudah mempunyai momentum pembangunan dan sekiranya rakyat memberi mandat sekali lagi, kita akan meneruskan usaha tersebut.

“Visi Johor Maju 2030 masih berada di pertengahan perjalanan. Banyak lagi yang perlu dilakukan demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh Bangsa Johor,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaian kerajaan negeri, beliau berkata ukuran sebenar kejayaan pentadbiran bukan hanya berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI), sebaliknya turut mengambil kira maklum balas rakyat serta pandangan institusi diraja Johor.

“Kami sentiasa mendengar pandangan rakyat dan juga pihak istana. Jika kedua-duanya merasakan kami melakukan tugas dengan baik, maka itulah ukuran sebenar kejayaan pentadbiran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sentiasa berpegang kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya semua pihak mengamalkan politik beradab serta menjauhi budaya politik kebencian.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin tertinggi negeri itu sering mengingatkan agar kempen politik dilaksanakan secara matang, berhemah dan penuh hormat walaupun terdapat perbezaan pandangan serta ideologi.

“Tuanku sentiasa berpesan supaya Johor kekal dengan budaya politik yang beradab. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi tidak perlu menghina, mencaci atau menyebarkan kebencian. Yang penting adalah menyampaikan pandangan dengan tertib dan menghormati antara satu sama lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |