Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, pembubaran DUN ikut proses perlembagaan

15 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang mendakwa terdapat campur tangan pihak Istana dalam pembubaran Dewan Negeri Johor.

Onn Hafiz berkata, apa yang dijelaskan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu ialah pembubaran Dewan Negeri Johor dibuat selepas mendapat titah perkenan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

“Pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati. Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, proses mendapatkan titah perkenan merupakan amalan perlembagaan dan tidak boleh disalah tafsir sebagai arahan atau campur tangan politik.

“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.

“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya.

Onn Hafiz turut menyifatkan tindakan Mohd. Puad mengaitkan institusi diraja dengan urusan politik sebagai tidak bertanggungjawab serta berpotensi menimbulkan sensitiviti berkaitan isu 3R.

“Beliau berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti. Namun kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Beliau turut menyeru semua pihak menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |