PETALING JAYA – OCR Group Berhad (OCR), sebuah syarikat hartanah bersepadu yang mengkhusus dalam pembangunan hartanah dan pengurusan projek, merekodkan hasil sebanyak RM68 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2026 (S1 TK2026), naik sebanyak 107.5 peratus berbanding RM32.3 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) adalah sebanyak RM5 juta berbanding RM0.37 juta suku yang sama tahun lepas dipacu oleh peningkatan ketara dalam prestasi operasi yang didorong oleh kemajuan pembinaan yang lebih kukuh dan pengebilan pembangunan yang lebih tinggi.
Ia turut disokong oleh pengiktirafan kemajuan yang dipercepatkan daripada projek-projek utama yang sedang berjalan, terutamanya Residensi Akasia di Shah Alam di bawah skim Rumah Selangorku, di samping sumbangan berterusan daripada Stellar Damansara.
Pengarah Urusan Kumpulan, OCR, Billy Ong Kah Hoe berkata, permulaan kukuh untuk TK2026 mencerminkan kemajuan pelaksanaan yang stabil merentasi pembangunan teras kami dan peningkatan momentum operasi dalam Kumpulan.
“Peningkatan ketara dalam hasil dan keuntungan menunjukkan kekuatan saluran projek kami dan keupayaan kami untuk menukar kemajuan pembinaan kepada pertumbuhan pendapatan.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal fokus pada kecekapan pelaksanaan, pengurusan kos yang berdisiplin dan momentum jualan yang berterusan merentasi pembangunan kami yang sedang berjalan dan akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, segmen pembangunan hartanah OCR kekal sebagai penyumbang pendapatan utama sepanjang suku tersebut, disokong oleh kemajuan pembinaan yang aktif dan pengebilan yang sihat daripada projek yang sedang berjalan iaitu Residensi Akasia dan Stellar Damansara.
Kumpulan juga terus mengukuhkan kedudukan kecairannya, dengan tunai dan deposit jangka pendek meningkat kepada RM48.9 juta pada 31 Mac 2026, berbanding RM32.1 juta pada 31 Disember 2025, memberikan fleksibiliti kewangan tambahan untuk menyokong aktiviti pembangunan yang berterusan dan pelancaran masa hadapan.
Mengulas mengenai hala tuju OCR, ia membolehkan OCR kekal kukuh digalakkan oleh keadaan pasaran hartanah domestik yang menyokong yang disokong oleh inisiatif Bajet 2026, termasuk Skim Jaminan Kredit Perumahan RM20 bilion yang bertujuan untuk menyokong pembeli rumah pertama kali.
“Digandingkan dengan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia antara empat hingga lima 5 peratus, Kumpulan menjangkakan permintaan untuk pembangunan perumahan mampu milik dan pasaran pertengahan yang strategik akan kekal berdaya tahan,” ujarnya.
Tambah beliau, berdasarkan momentum tersebut, OCR juga merancang untuk melancarkan Residensi Begonia, Fasa 2 pembangunan Kyra di Shah Alam yang terdiri daripada 1,085 unit perumahan mampu milik berukuran 1,022 kaki persegi seunit dan 23 kedai, dan pembangunan gaya hidup bertingkat tinggi kontemporari yang akan datang di Jalan Alor pada separuh kedua tahun 2026. -KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3






![[VIDEO] ‘Kejadian sekelip mata, saya dilambung dua kali’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-29-at-2.14.05-PM.jpeg)






































