Norway mohon maaf isu pembatalan lesen eksport peluru berpandu

11 hours ago 8

PETALING JAYA — Norway memohon maaf kepada Malaysia berhubung pembatalan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM), namun tetap mempertahankan keputusan tersebut.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, perkara itu disampaikan sendiri Oleh Menteri Pertahanan Norway, Tore O. Sandvik, ketika pertemuan dua hala pada Dialog Shangri-La di Singapura hari ini.

“Saya jumpa dengan Menteri Pertahanan Norway dan telah menyatakan secara jujur mengenai kekecewaan dan kekesalan kita kerana hubungan lama, rapat, dan baik yang selama ini wujud antara Norway dan Malaysia melalui episod pembatalan NSM hari ini.

“Menteri Pertahanan Norway telah menyampaikan permohonan maafnya dan telah menyatakan asas-asas pembatalan tersebut yang kita boleh terima sama ada benar ataupun direka kalau mereka memang tak mahu ataupun telah membatalkan lesen eksport bagi NSM tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Khaled menegaskan, dalam prinsip ingin mengekalkan persahabatan, cara dan tindakan yang dibuat Norway itu tidak selari sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan yang baik.

Menurut beliau, Malaysia turut mempersoalkan kelewatan Norway memaklumkan keputusan tersebut meskipun kontrak telah ditandatangani sejak 2018 dengan penghantaran dijadualkan pada 2026.

“Norway hanya maklum ke Malaysia pada bulan April dan sepatutnya misil itu dihantar pada Mac. Kita dimaklumkan ada masalah walaupun pada ketika itu tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai pembatalan lesen eksport itu,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan keputusan itu dibuat secara unilateral tanpa usaha membantu Malaysia mendapatkan kembali bayaran yang telah dibuat.

Menurut Khaled, Malaysia mungkin boleh menerima keputusan Norway sekiranya terdapat usaha jelas untuk melindungi kepentingan Malaysia.

“Kita mungkin boleh terima, kita mungkin boleh anggap Norway sebagai satu negara sahabat jika ada usaha daripada kerajaan Norway untuk membayar kembali apa yang telah kita bayar,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dibawa oleh Menteri Pertahanan Norway kepada kerajaannya, namun beliau mengakui terdapat keraguan sama ada penyelesaian yang memuaskan akan dicapai.

“Situasi ini menunjukkan bahawa tidak ada makna bahawa hubungan Malaysia dan Norway perlu diteruskan atau dikukuhkan kerana apa yang kita lalui ini akan menjadi satu kecacatan yang kekal,” katanya.

Mohamed Khaled turut memaklumkan bahawa Malaysia telah menghantar surat tuntutan undang-undang terhadap syarikat terbabit.

Sebelum ini, pembatalan lesen eksport itu menerima bantahan keras daripada Malaysia, memandangkan sistem peluru berpandu tersebut diperuntukkan bagi program Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |