Nor Afiza hilang selepas maklumkan hadiri temu duga

4 hours ago 3

TAIPING – Pihak polis memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu usaha pencarian seorang wanita dari Kamunting di sini yang dilaporkan hilang sejak 16 Jun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd. Ariffridzuan Ezahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita tersebut, Nor Afiza Zainuddin, 41, pada 18 Jun lalu kira-kira pukul 11.22 pagi.

Beliau berkata, wanita berkenaan kali terakhir didapati keluar dari rumah beralamat No. 19, Lorong Mewah 16, Taman Mewah, Kamunting pada 16 Jun lalu dengan memandu kereta jenis Perodua Axia berwarna putih.

“Hasil siasatan awal mendapati pada 16 Jun 2026, orang hilang (OH) telah keluar rumah dengan alasan menghadiri sesi temu duga di Hotel Casuarina Kuala Kangsar.

“Pada 21 Jun 2026, pihak polis telah menjumpai kenderaan milik OH di Kampung Paya Lintang, Batu Hampar, Padang Rengas iaitu tempat rekreasi,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Ariffridzuan berkata, hasil pemeriksaan mendapati kereta itu berada dalam keadaan baik di mana kuncinya dan beberapa barangan milik OH seperti fail sijil, beg telekung dan kasut berada dalam kenderaan itu.

Beliau berkata, Nor Afiza merupakan ibu kepada dua orang anak yang tinggal bersama bekas suaminya.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan OH dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Sanjay Shanmugam di talian 012-503 9820 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di talian 05-829 1222,” katanya.

Nor Afizi berketinggian 155 sentimeter (cm), dengan berat badan 57 kilogram (kg) manakala warna kulitnya sawo matang dan hidung pesek selain iris mata berwarna hitam. Wanita itu juga bercermin mata.

Media sebelum ini melaporkan wanita tersebut dilaporkan hilang sejak 16 Jun lalu, dengan usaha mengesannya telah dilakukan oleh ahli keluarganya.

Bagaimanapun, usaha tersebut tidak membuahkan hasil dengan wanita berkenaan masih gagal dikesan, dengan dua laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarganya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |