ISKANDAR PUTERI – Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tan Sri Noh Omar hari ini mengumumkan kepulangan beliau ke pangkuan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas melepaskan semua jawatan dan keahliannya dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, beliau terbuka untuk menyertai UMNO kembali selepas melihat prinsip UMNO Johor yang tegas dan konsisten menolak kerjasama dengan DAP.
“Saya amat menghormati prinsip UMNO dan BN di negeri ini, apatah lagi selepas mendengar ucapan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Disebabkan itulah saya bersetuju kembali dengan BN menjelang PRN Johor ini.
“Saya juga yakin Insya-Allah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 nanti, UMNO akan mempunyai prinsip yang sama, tidak akan bersama dengan DAP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut berharap UMNO akan menjalinkan kembali kerjasama dengan Pas sekali gus menyatukan masyarakat Melayu di negara ini.
“Saya juga berharap UMNO akan dapat bekerjasama dengan Pas yang akan dapat menyatukan lagi kekuatan perpaduan Melayu. Saya yakin kalau UMNO dengan Pas boleh bersama, mereka boleh tubuhkan kerajaan tanpa perlukan bantuan daripada parti-parti lain,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu keputusan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat kerana mendapati parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan tidak menghormati prinsip dan keputusan ditetapkan Majlis Tertinggi parti.
“Saya lihat prinsip perjuangan Bersatu dan UMNO berbeza, jauh berbeza. Sebagai contoh, Majlis Tertinggi Bersatu telah buat keputusan tidak akan mengambil tindakan disiplin kepada ahli-ahli. Tetapi selepas mesyuarat nampaknya mereka tidak hormati keputusan itu, sebaliknya terus kenakan tindakan.
“Perjuangan saya mesti ada prinsip, dan saya kata dari dahulu bahawa saya tidak bersetuju UMNO dengan DAP. Hari ini UMNO Johor telah pun mengisytihar tidak bersama dengan DAP, sebab itu saya kembali bersama dengan UMNO dan juga BN.
“Saya memang sudah letak jawatan dan keluar Bersatu, jadi saya ingat tidak perlu tulis surat, saya dah isytihar perkara itu jadi secara automatik saya sudah keluar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan komen berhubung pendirian politik anaknya, Nurul Syazwani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang mewakili Bersatu.
“Nurul sekarang masih lagi ADUN Bersatu, jadi mengenai dia kita tunggulah,” katanya.-KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5








![[VIDEO] Enam maut SUV bertembung lori](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/ENAM-MAUT-SUV.jpeg)




































