PETALING JAYA – Gagasan Negara Madani tidak hanya terbatas kepada aspek politik atau ekonomi, sebaliknya merangkumi nilai iman, ihsan, rahmah dan keadilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini menjadikan pembangunan material seiring dengan akhlak, pendidikan serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, prinsip tersebut dizahirkan melalui dasar-dasar negara termasuk peningkatan gaji penjawat awam dan pelaksanaan gaji minimum yang dilihat sebagai manifestasi nilai ihsan dalam pentadbiran.
“Kerajaan ini terbuka menerima teguran dan bersedia memperbaiki kelemahan. Namun teguran mesti berlandaskan akhlak, bukan cercaan atau fitnah.
“Dengan semangat saling menasihati, kita dapat mengangkat martabat umat, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar meraikan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling sebelum menunaikan solat Jumaat bersama ratusan jemaah tabligh di situ.
Beliau turut diberi ruang menyampaikan tausiah bersempena Program Temu Mesra Madani anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam ucapannya, beliau semangat perjuangan yang diwariskan oleh Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah, teladan terbaik buat umat manusia.
Selain itu katanya, beliau turut menyingkap sejarah perjuangan Salahuddin al-Ayyubi yang memakmurkan masjid, membangkitkan roh jihad dan kesedaran umat sehingga menjadi kekuatan menakluki semula Baitulmuqaddis.
“Persiapannya adalah kekuatan masjid, roh perjuangan, perpaduan masyarakat serta peningkatan ilmu.
“Hari ini, ada yang punya ilmu tetapi tidak ada kesedaran, dan ada pula yang punya kesedaran tanpa keberanian untuk melangkah dalam perjuangan,” ujarnya.
Anwar turut menekankan bahawa setiap kali menjejakkan kaki ke Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, beliau terkenang jasa ulama dan guru yang mendorong perubahan dengan penuh hikmah.
“Semoga roh perjuangan dan semangat dakwah bil hikmah ini terus menyinari langkah kita membina Malaysia Madani yang berakar pada iman, ilmu dan akhlak Rasulullah SAW,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE