‘Nasib baik dia tak makan cendawan beracun’

3 hours ago 5

TAPAH – Cendawan beracun merupakan antara barangan dijumpai di dalam beg sandang milik pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, semalam.

Menurut Nazri Bah Eng, 55, wanita itu bernasib baik kerana tidak memakan tumbuhan tersebut untuk mengalas perut.

“Selain dua botol berisi air, dalam beg sandang dia ada cendawan dan daun hutan yang kami di sini panggil daun asam batu.

“Daun itu boleh dimakan, tapi cendawan itu tidak boleh kerana beracun. Nasib baiklah dia tak makan cendawan itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh di sini hari ini.

Menurut Nazri, dia berasa gembira apabila melihat wanita yang berjalan seorang diri menyeberangi sungai ketika dia dan rakan, Bah Roslan Bah Sulpok, 51, sedang memancing merupakan pendaki yang sedang dicari oleh pasukan penyelamat.

Malah katanya, dia berasa lega apabila melihat wanita itu dalam keadaan baik walaupun kelihatan sedikit lemah.

“Kami tidak terlibat dengan pasukan mencari, tapi kami kenal wajah dia (Jaslinda). Kebetulan kami sedang memancing di situ dan dia berjalan melintasi jambatan gantung.

“Ketika ditemui, dia lengkap berpakaian pendaki sambil memegang tongkat (hiking). Bila saya nampak dia, saya lega dia masih hidup. Kami bawa dia ke kampung sebelum saya hubungi bomba,” katanya.

Menerusi laporan media semalam, Jaslinda yang hilang sejak 23 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Capman di Gunung Batu Putih ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk Orang Asli.

Dia dilihat berjalan seorang diri dalam keadaan lemah menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Kehadirannya disedari oleh Nazri dan Bah Nordin ketika dua lelaki itu sedang memancing sekitar pukul 5.10 petang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |