SEJAK tiga minggu lalu, nama penyanyi juga pelakon yang seorang ini menjadi topik hangat dalam media sosial.
Semuanya gara-gara kes amang seksual melibatkan seorang remaja perempuan bawah umur berusia 17 tahun dan malangnya, susuk pemenang trofi Anugerah Juara Lagu ke-34 itu disebut-sebut.
Menurut laporan polis yang dilakukan ibu kepada remaja perempuan terbabit, kejadian berlaku di sebuah hotel di Selangor pada 19 Mei lalu sekitar pukul 8.56 malam.
Selepas puas berteka-teki siapakah gerangan pelaku dimaksudkan, akhirnya pada Selasa lalu, kelibat Naim Daniel atau nama lengkapnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, muncul di Mahkamah Sesyen Putrajaya bagi mendengar pertuduhan dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Kendatipun, pemenang penyanyi juga komposer Sumpah itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kundasamy.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh disebat.
Mahkamah membenarkan Naim diikat jamin RM12,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Dia yang selama ini mengunci rapat mulutnya sejak namanya diperkatakan akhirnya bersuara sewaktu ditemui pihak media di pekarangan mahkamah.
Menurut Naim, dia berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja dan enggan mengulas lanjut mengenai kes ini kerana tidak mahu mengganggu proses mahkamah.
“Saya di sini baru sahaja didakwa untuk satu pertuduhan berat. Saya faham semua ada persoalan dan banyak tanda tanya yang mengejutkan sesetengah pihak.
“Buat masa sekarang saya belum bercadang untuk mengulas panjang kerana kita masih di peringkat awal. Saya tak mahu campur aduk apa yang boleh mengganggu perbicaraan nanti.

“Setakat ini saya serahkan kepada sistem pengadilan. Saya komited untuk bagi kerjasama penuh bagi bersihkan nama. Harap dapat doa daripada semua,” katanya yang hadir ke mahkamah ditemani ibu tercinta.
Apa yang berlaku kepada bintang terkenal seperti Naim memberi impak bukan sahaja terhadap industri hiburan tempatan, tetapi kepada para peminat yang raya-ratanya terdiri dalam kalangan belia.
Impaknya bukan sedikit, tetapi ada sebuah reputasi hebat yang sedang diruntuhkan seandainya nasib tidak menyebelahi dirinya apabila keputusan diumumkan kelak.
Naim Daniel ialah seorang bintang yang bakatnya mula menyinar sejak dari zaman kanak-kanak sebagai seorang pelakon.
Bakat besar yang ada pada dirinya kemudian tumbuh bercambah kepada bidang seni yang lain, iaitu bidang seni suara dan menggubah lagu sehingga dia dijulang di pentas tertinggi AJL.
Biarpun kes amang seksual melibatkan dirinya bakal bersambung pada Ogos depan, tetapi ada sebuah periuk nasi yang sedang berhadapan dengan kebarangkalian sama ada ditabur pasir ataupun ditutup rapat.
Jika tersalah percaturan, nasi yang ditanak juga mungkin ‘rosak’ sebelum sempat dijamah.
Iya mungkin artis dan mahkamah ibarat berpisah tiada. Kita sering dihidangkan dengan kes saman menyaman atau perceraian mahupun penyalahgunaan dadah tetapi untuk kes jenayah seksual seperti ini, sesuatu yang jarang berlaku membabitkan selebriti terkenal tanah air.
Bukan tugas media untuk menghakimi sesuatu yang belum terbukti kebenarannya. Media hanyalah melaporkan setiap proses daripada laporan polis, pertuduhan, dakwaan sehinggalah keputusan yang ditetapkan mahkamah. Semoga kebenaran berpihak kepada yang benar.