PUTRAJAYA – Penyanyi Naim Daniel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lalu.
Bagaimanapun Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin M.Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, pelatun lagu Sumpah itu didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit hotel di Petaling Jaya, Selangor pukul 8.56 malam pada 19 Mei lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin manakala Naim Daniel diwakili peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dam tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor. Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya.
Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataanya berkata, arahan tuduh ke atas suspek telah diperolehi daripada Pejabat Pendakwaraya Selangor.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
Kosmo! sebelum ini melaporkan selebriti terkenal yang ditahan berhubung kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun baru-baru ini didakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel.
Maklumat tersebut diperoleh selepas polis menjalankan soal siasat ke atas lelaki tersebut.
Suspek dan mangsa yang juga pelajar berkenalan kira-kira dua bulan lalu. – KOSMO! ONLINE