Nahas UiTM Dungun: Pemandu Honda CR-V dibenar jamin RM40,000

8 hours ago 3

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pemandu wanita yang didakwa atas pertuduhan membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam kemalangan pada 9 Oktober tahun lalu dibebaskan dengan wang jaminan.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan tertuduh, Norizan Ismail, 50, yang ditahan sejak hari kejadian dibebaskan dengan wang jaminan RM40,000 dan dua penjamin.

Beliau juga mengarahkan tertuduh agar melapor diri di Balai Polis Dungun setiap dua bulan, dilarang memandu kenderaan sama ada kereta, motosikal dan basikal serta ahli keluarganya perlu memastikan sebarang kunci kenderaan tidak boleh diakses suri rumah tersebut.

“Tertuduh juga tidak dibenarkan keluar rumah tanpa kehadiran suaminya dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi kes ini sehingga prosiding kes selesai.

“Dia (Norizan) juga hendaklah mendapatkan rawatan (psikiatri) di hospital berkaitan,” katanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hassan berkata, jaminan automatik terbatal sekiranya Norizan melanggar mana-mana syarat ditetapkan berkenaan.

Terdahulu beliau menerima hujahan pihak pembelaan yang mengatakan pelanggaran yang mengorbankan tiga pelajar UiTM dan mencederakan seorang lagi tidak disengajakan, malah kenderaan tertuduh turut terbabas ke dalam longkang.

Berdasarkan tiga pertuduhan, Norizan didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang ketika itu memandu kenderaan utiliti sukan (SUK) Honda CR-V di Jalan Pantai berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.

Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara antara 30 tahun dan 40 tahun serta hukuman minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |