Nahas 6 maut: Polis tunggu laporan penuh Puspakom

10 hours ago 7

ALOR SETAR – Polis masih menunggu laporan penuh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berhubung nahas membabitkan Proton X50 yang mengorbankan enam sekeluarga di Sungai Petani, Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan oleh Puspakom bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kita masih menunggu laporan penuh kerana berdasarkan maklum balas awal oleh Puspakom susah untuk ditentukan punca sebab keadaan kereta yang hancur.

“Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang turut menyiasat juga memberikan jawapan yang sama,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut daripada agensi berkaitan.

Sementara itu, katanya, kertas siasatan terhadap pemandu lori berusia 49 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas permohonan reman terhadap lelaki terbabit ditolak mahkamah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, enam sekeluarga maut, manakala seorang kanak-kanak parah selepas Proton X50 yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani.

Mangsa terdiri daripada anggota Balai Polis Nibong Tebal, Lans Koperal Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29; isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, yang merupakan jururawat Hospital Sungai Bakap serta bayi lelaki mereka, Ahmad Mikail yang berusia dua bulan.

Tiga lagi ialah ibu Ahmad Shafiq iaitu Nora Mohd. Husin, 55, dan adiknya, Ahmad Fahim, 21, serta anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7.

Kanak-kanak, Aulia Sofea, 3, yang merupakan anak kepada Ahmad Shafiq cedera parah pada bahagian muka dan menerima rawatan di hospital.

Proton X50 milik Ahmad Fahim itu dikatakan baru sahaja diambil dari pusat jualan kenderaan tersebut pada pagi hari kejadian.

Kejadian berlaku ketika kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan untuk menziarahi kubur arwah bapa Ahmad Shafiq di Merbok, Sungai Petani. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |