BARCELONA – Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo mengakui ujian aerodinamik baharu pada jentera Yamaha V4 belum memberi perubahan besar meskipun dia menamatkan sesi ujian rasmi MotoGP Catalunya di tempat kedua terpantas.
Juara dunia 2021 itu menegaskan bahawa fokus utama ujian tersebut adalah untuk menilai rekaan sayap hadapan hibrid yang menggabungkan elemen rekaan asal 2026 dengan spesifikasi lama “tri-plane” tahun lalu.
Quartararo sebelum ini kembali menggunakan sayap lama sejak ujian di Jerez selepas bergelut mendapatkan rasa cengkaman lebih baik pada bahagian hadapan jentera pada awal musim.
“Kami menguji sayap hadapan baharu dan beberapa pelarasan elektronik. Secara jujurnya, tiada apa yang istimewa. Rekaan terbaharu ini lebih menyerupai rekaan ‘tri-plane’, namun rasanya sangat serupa apabila berada di atas litar,” katanya.
Walaupun mencatatkan masa yang memberangsangkan di belakang Pedro Acosta (KTM), juara dunia 2021 itu enggan terlalu terbawa-bawa dengan keputusan tersebut memandangkan keadaan litar yang sangat baik pada hari ujian.
Jelasnya, catatan masa pusingan 1 minit 38 saat yang dilakukan berturut-turut lebih dipengaruhi oleh faktor cengkaman litar yang luar biasa berbanding peningkatan drastik pada komponen jentera.
“Apabila litar mempunyai cengkaman yang kuat, semuanya nampak bagus, tetapi kelajuan maksimum kami masih lagi lemah. Itulah hakikat yang perlu kami hadapi buat masa ini,” tambah Quartararo.
Quartararo turut mengesahkan Yamaha masih belum membawa naik taraf enjin V4.
“Tiada enjin baharu. Kami menggunakan enjin lama dengan jarak penggunaan tinggi dan ia boleh dilihat pada kelajuan maksimum.
“Saya mungkin mendapat bantuan ‘slipstream’ untuk catatan kelajuan terbaik hari ini, tetapi secara keseluruhan kami masih perlahan,” katanya.
Yamaha dijangka berdepan cabaran lebih besar pada Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello minggu depan yang terkenal sebagai litar dengan laluan lurus paling laju dalam kalendar MotoGP musim ini. -AGENSI

16 hours ago
6




![[VIDEO] GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA dari Istanbul](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/AKTIVIS-MALAYSIA-GSF-GSF-2.0.jpeg?v=1779636357)










































