Moto3: Hakim Danish sambar tempat ketiga di Itali

7 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli melakar sejarah peribadi apabila berjaya menaiki podium sulung dalam karier Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada Grand Prix (GP) Itali, hari ini.

Pencapaian luar biasa di Litar Mugello itu menyaksikan pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi tersebut menamatkan penantian untuk menaiki podium pada musim sulungnya dalam kancah perlumbaan motosikal berprestij itu.

Lebih mengkagumkan, kejayaan itu hadir selepas pelumba kelahiran Terengganu itu mengharungi hujung minggu yang cukup perit apabila terlibat dalam kemalangan ngeri ‘highside’ ketika sesi latihan sehingga memaksanya beraksi di pusingan Kelayakan Pertama (Q1).

Bagaimanapun, semangat juang tinggi yang dipamerkan Hakim Danish membolehkannya
melepasi saingan Q1 sebelum menyambar petak kedua, namun memulakan perlumbaan di petak utama selepas David Almansa dari Sepanyol disahkan tidak cergas.

HAKIM Danish berjaya menyambar podium tempat ketiga di Grand Prix Itali. -MSi Racing Team

Sepanjang 17 pusingan perlumbaan yang berlangsung sengit, pelumba berusia 19 tahun itu sentiasa berada dalam kelompok hadapan meskipun kedudukannya turun naik, malah pernah tercicir ke tangga kelapan.

Enggan menyerah kalah, Hakim Danish mempamerkan aksi agresif pada pusingan terakhir untuk memintas beberapa pencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan ketiga, di belakang juara, Brian Uriarte dan Alvaro Carpe di tempat kedua.

“Saya sangat gembira dengan podium pertama saya tahun ini, tambahan pula ini adalah tahun pertama saya dalam kelas Moto3. Ini adalah impian saya dan akhirnya ia menjadi kenyataan,” kata Hakim Danish sejurus tamat perlumbaan.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kesabaran dan kerja keras sejak perlumbaan pertama musim ini untuk memastikan sentiasa kompetitif bersama kelompok pelumba hadapan.

“Sudah sekian lama saya menunggu saat ini. Setiap perlumbaan saya cuba untuk memberikan saingan dan akhirnya usaha itu membuahkan hasil.

“Perlumbaan hari ini sangat sukar kerana ia berlangsung sangat pantas dengan banyak pertarungan. Namun, saya berjaya menguruskannya dengan baik dan pada pusingan terakhir, saya memberikan segala-galanya untuk memastikan podium tempat ketiga ini milik saya,” katanya.

Lebih manis, kejayaan Hakim Danish turut menamatkan penantian hampir sedekad Malaysia untuk kembali menaiki podium Moto3 sejak kali terakhir dicapai Khairul Idham Pawi menerusi kemenangan pada GP Jerman 2016.

Hasil keputusan itu, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-11 keseluruhan carta kejuaraan dengan mengumpul 43 mata selepas tujuh pusingan perlumbaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |