KUALA LUMPUR – Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 23 Jun hingga 22 Jun 2027.
Pelantikan tersebut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Mohd. Khalid dibuat berdasarkan pengalaman dan kewibawaan beliau dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mohd. Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan PDRM,” katanya.
Mohd. Khalid, 60, yang dilahirkan di Manong, Perak, memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan (Comparative Laws) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau memulakan kerjaya dalam PDRM pada 5 April 1987 dan pernah berkhidmat dalam Cawangan Khas di pelbagai peringkat termasuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen negeri dan luar negara.
Antara jawatan penting pernah disandangnya termasuk Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman dan Pegawai Perhubungan Keselamatan (Security Liaison Officer) di London, United Kingdom.
Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April lalu.
Perkhidmatan beliau sebagai pengarah kemudiannya diteruskan secara kontrak sehingga pelantikan baharu sebagai KPN.
Dalam pada itu, Saifuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Polis Negara terdahulu, Tan Sri Razarudin Husain atas segala jasa dan khidmat bakti sepanjang tempoh perkhidmatan sejak 23 Jun 2023.
“Kerajaan Madani mengucapkan syabas dan tahniah kepada Mohd. Khalid atas pelantikan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE