KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail yakin dapat meneruskan kecemerlangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selari dengan pemodenan pasukan melibatkan teknologi terkini dan kecerdasan buatan (AI).
Mohd. Khalid berkata, penggunaan teknologi antara elemen utama yang akan diketengahkan dalam pasukan keselamatan tersebut.
“Dengan ruang dan peluang yang diberikan kepada saya, saya percaya saya akan membawa PDRM ke arah lebih cemerlang.
“Penggunaan kecerdasan buatan (AI) menjadi isu yang saya rasa perlu diketengahkan supaya pasukan kita lebih ‘advance’ (maju) pada masa akan datang.
“(Ia) dapat menangani semua permasalahan yang timbul sama ada dalam bentuk jenayah atau apa jua ancaman terhadap negara ini,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas dan Istiadat Paluan Berundur KPN di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, beliau akan meneruskan segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan untuk pasukan itu.
“Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Tan Sri Razarudin Husain yang baru tamat perkhidmatannya hari ini.
“Saya percaya ia menjadi satu peluang dan ruang untuk saya mempertingkatkan keupayaan dan kredibiliti pasukan polis terutama dalam menangani isu Jenayah dan rentas sempadan,” katanya.
Pada masa sama, Mohd. Khalid menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kerana memperkenan pelantikannya sebagai KPN ke-15.
“Terima kasih Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi tanggungjawab dan amanah ini kepada saya untuk bersama-sama dengan rakyat.
“Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memimpin pasukan PDRM ke arah yang lebih cemerlang,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada warga PDRM atas komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Saya percaya, tanpa mengira waktu dan masa, mereka sentiasa memberikan yang terbaik untuk kesempurnaan rakyat,” katanya.
Mohd. Khalid dilantik sebagai KPN baharu secara kontrak selama dua tahun bermula sehingga 22 Jun 2027. – KOSMO! ONLINE