GEORGE TOWN – Pertandingan Miss Equality World 2026 yang tular di media sosial baru-baru ini bukan berlangsung di Pulau Pinang sebaliknya di Bangkok, Thailand, kata Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman
Beliau berkata, semakan terhadap maklumat rasmi penganjur mendapati pertandingan berkenaan berlangsung dari 22 hingga 30 Ogos lalu di Bangkok, selain terdapat seorang peserta yang membawa nama Malaysia.
Tegasnya, penyertaan individu berkenaan dengan membawa nama Malaysia tidak bermaksud dia merupakan wakil rasmi Kerajaan Malaysia.
“Pembetulan ini penting. Islam menuntut kita berlaku adil terhadap fakta sekalipun terhadap perkara yang kita tentang,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Islam mempunyai pendirian jelas mengenai seseorang yang sengaja menyerupai atau mengubah dirinya kepada jantina yang berlawanan.
Beliau memetik hadis daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu berbeza dengan keadaan khunsa atau intersex yang melibatkan aspek biologi tertentu dan memerlukan penilaian pakar bagi menentukan jantina sebenar.
Menurutnya, umat Islam juga perlu berhati-hati agar budaya LGBTQ tidak dipromosi, diraikan atau dinormalisasikan, khususnya kepada generasi muda.
“Namun, kita perlu membezakan antara hukum syarak dengan kesalahan jenayah. Sesuatu pendakwaan bergantung kepada peruntukan undang-undang, lokasi, bidang kuasa dan pembuktian, apatah lagi pertandingan yang diperkatakan ini berlangsung di Thailand.
“Oleh itu, masyarakat jangan mengambil undang-undang ke tangan sendiri. Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, serahkan kepada pihak berautoriti untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa ketegasan terhadap LGBTQ tidak bermaksud umat Islam boleh menghina, membenci atau menzalimi individu yang terlibat, sebaliknya pintu taubat sentiasa terbuka.
“Pendirian kita mesti jelas, kita menolak normalisasi LGBTQ, tetapi tidak menzalimi manusia. Kita tegas mengatakan yang haram tetap haram, tetapi tidak pernah menutup pintu taubat.
“Dalam dunia yang semakin berubah, umat Islam jangan kehilangan kompas agama hanya kerana tekanan budaya dan perubahan zaman. Apa yang popular tidak semestinya benar. Apa yang diraikan manusia tidak semestinya diredai Allah.
“Tegaslah pada prinsip, berhikmahlah dalam berdakwah dan peliharalah generasi daripada normalisasi perkara yang bertentangan dengan syariat,” tambahnya.
Terdahulu, tular video yang dimuat naik di TikTok PU Syed Original memaparkan seorang lelaki yang dikatakan beperwatakan ‘wanita’ berucap pada satu majlis dan turut mendapat kecaman daripada pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
10















































