Minyak sawit Malaysia di landasan tepat diiktiraf EU

13 hours ago 4

KUALA LANGAT – Malaysia berada di landasan yang tepat untuk diklasifikasikan sebagai negara berisiko rendah dalam pengeluaran minyak sawit daripada Kesatuan Eropah (EU) di bawah agenda kemampanannya.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini terutamanya dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi memastikan produk dihasilkan adalah mampan dan diterima di pasaran global.

Menurutnya, kerajaan kini sedang mengusahakan fakta dan kemajuan terkini berkaitan pengeluaran minyak sawit negara untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi itu.

“Salah satu proses yang perlu kita lalui adalah terus mengemukakan data yang tepat.

“Sebelum ini, sektor perladangan dikendalikan oleh kementerian yang berbeza berbanding dengan pihak yang menghantar fakta dan angka berkaitan hutan kita kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

“Berdasarkan angka tersebut, terdapat pelbagai metodologi yang digunakan dan hanya selepas itu kita akan diklasifikasikan sama ada sebagai negara berisiko rendah, berisiko sederhana atau berisiko tinggi. Paling penting ialah apa yang sedang kita lakukan sekarang adalah ke arah itu,” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Pesuruhjaya Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Daya Saing Ekonomi Kitaran EU, Jessika Rosswal di Kampung Sungai Judah dan Pusat Kecemerlangan Minyak Sawit SD Guthrie di Pulau Carey di sini.

Malaysia kini diklasifikasikan sebagai berisiko sederhana di bawah Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).

EUDR mewajibkan syarikat yang menjual atau mengeksport tujuh komoditi utama iaitu koko, kopi, minyak sawit, soya, lembu, getah dan kayu ke EU untuk memastikan ia bebas daripada aktiviti penyahhutanan dan diperoleh secara sah.

Mengulas lanjut, kata Johari, persijilan MSPO yang telah diwajibkan sejak tahun 2020 antara lain memperkenalkan sistem pengesanan Kebangsaan dalam memantau pergerakan minyak sawit dari ladang ke kilang dan loji penapisan.

“Ini bagi membolehkan kita mengetahui produk yang dihasilkan tidak datang kawasan yang telah ditebang hutannya. Jadi, kita mesti konsisten sebelum berjaya mencapainya (pengiktirafan EU tersebut),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |