GUA MUSANG – Mimpi seorang remaja perempuan mengenai bapanya lemas ketika mendulang emas menjadi kenyataan apabila lelaki itu ditemui maut di Sungai Ulu Galas, Pulai di sini semalam.
Mangsa, Mohamad Tarmizi Darwis, 35, ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam sungai oleh rakannya kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi.
Isterinya mangsa, Nur Shafiqa Hani Mohd. Zuki, 30, berkata, anak sulungnya, Nur Annisa Syuhada, 15, bermimpi bapanya lemas semasa mendulang emas di dalam sungai pada malam sebelum kejadian.
Katanya, suaminya keluar dari rumah seorang diri kira-kira pukul 6 petang semalam untuk mendulang emas meskipun sudah dinasihatkan supaya tidak pergi kerana waktu sudah lewat.
“Sebelum ini, kakak (anak sulung) ada mimpi papa lemas, malah mimpi itu berulang kali. Malam kelmarin pun dia mimpi perkara sama.
“Saya tidak menyangka mimpi itu jadi kenyataan. Selalunya saya ikut dia masuk hutan, tetapi semalam anak demam dan dia mahu pergi seorang. Saya melarang kerana sudah lewat, tetapi dia tetap mahu pergi,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Nur Shafiqa Hani memberitahu, dia menerima panggilan telefon kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi yang memaklumkan suaminya telah ditemui dalam keadaa tidak bernyawa di dalam sungai itu.
Katanya, dia terus membuat laporan polis dan arwah suami kemudian dibawa keluar dari kawasan hutan berkenaan.
“Laluan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira satu setengah jam dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda berikutan hujan lebat. Jenazah sampai di Hospital Gua Musang kira-kira pukul 5 pagi tadi dan kini masih menunggu proses bedah siasat,” ujarnya.
Nur Shafiqa Hani berkata, suaminya bekerja sebagai pencari emas sejak lebih 16 tahun lalu dan disahkan menghidap penyakit sawan sejak 2017.
“Kami mempunyai lima orang anak berusia dalam lingkunyan dua hingga 15 tahun. Sebelum kejadian, suami dilihat agak tertekan memikirkan tanggungan keluarga. Dia ada luahkan rasa serabut sebab banyak komitmen perlu ditanggung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
7


![[VIDEO] Cemas zink melayang dalam pusaran angin](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/usaran-angin.jpeg)










































