MGP tidak cuai, Jaslinda sudah dinasihatkan tunggu bantuan

2 hours ago 3

TAPAH – Kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih di sini Ahad lalu, bukan berpunca daripada kecuaian Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Rakan pendaki, Mohd. Hanafi Neikmad, 41, berkata, MGP dikenali sebagai Hafiz yang menemaninya di Kem Batu Core telah beberapa kali mengingatkan wanita terbabit supaya kekal berada di puncak Gunung Batu Putih dan menunggunya sebelum turun bersama-sama.

Katanya, ketika kejadian, Hafiz terpaksa berulang-kali naik dari Kem Batu Core untuk mendapatkan talian telefon bagi menghubungi pasukan penyelamat selepas dia mengalami masalah kesihatan.

“Pada awalnya, kami bertiga terpaksa berhenti di Kem Batu Core kerana saya mengalami sesak dada dan muntah, selain lampu suluh kepala pula kehabisan bateri dan cuaca hujan.

“Ketika itu, 12 pendaki lain sudah jauh ke hadapan bersama seorang lagi MGP. Jaslinda kemudian mahu mendaki sendirian tetapi Hafiz melarang dan minta dia tunggu sehingga waktu cerah untuk pendakian ke puncak Gunung Batu Putih.

“Esoknya (pagi Ahad), Hafiz yang mahu mendapatkan talian telefon keluar mendaki lagi bersama Jaslinda yang kemudian meneruskan perjalanan ke puncak gunung yang terletak kira-kira dua kilometer atau dua jam pendakian dari lokasi mereka menunggu bantuan kerana mahu menumpang kereta rakannya untuk pulang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hanafi, MGP Hafiz telah menasihati Jaslinda supaya berhenti dan menunggunya sekiranya menemui simpang kerana bimbang wanita itu akan tersesat.

Katanya, Hafiz yang berusaha membantunya ketika cedera beberapa kali menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan Jaslinda yang mendaki bersendirian ke puncak gunung.

“Semua pihak tidak perlu menuding jari terutamanya kepada MGP Hafiz. Dia (Hafiz) berusaha mendapatkan talian telefon untuk memohon bantuan.

“Dia sendiri bimbang dengan keselamatan Jaslinda yang sehingga kini masih belum ditemui,” katanya.

Mohd. Hanafi adalah pendaki yang dibawa turun menggunakan helikopter Agusta AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selepas dia dilaporkan mengalami sesak nafas dan muntah darah sekali gus tidak dapat meneruskan perjalanan ke puncak gunung.

Lelaki itu yang dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Teluk Intan mengalami hipotermia, masalah jantung dan tekanan darah rendah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |