‘Mereka tak tengok pun saya berlakon, terus kata kayu’

6 hours ago 3

PETALING JAYA – Pernah digelar ‘kayu’, pelakon Fattah Amin mengakui hampir berputus asa dalam dunia lakonan gara-gara dihujani pelbagai kecaman pada awal kemunculannya.

Ujar Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, persepsi negatif netizen sedikit sebanyak memberi tekanan hingga timbul keinginan untuk angkat kaki daripada dunia seni.

“Saya rasa di awal kemunculan saya dahulu memang rasa tertekan. Waktu zaman saya ‘kayu’ itu, orang boleh komen terus dekat media sosial.

“Kadang-kadang kita terbaca. Kita nak promosi drama, tapi terbaca pula orang cakap lakonan saya keras, tak menjadi. Ada juga yang kata tak pernah tengok pun saya berlakon, tapi dah kata kayu.

“Waktu itu saya fikir, mungkin inilah yang pertama dan terakhir berlakon. Rasa nak tarik diri daripada dunia lakonan,” ujarnya dalam audio siar Borak Selebriti Sinar bersama Dinar dan Falyq.

Pun begitu, pelakon filem Mat Kilau itu enggan menjadikan kritikan sebagai halangan, sebaliknya memilih untuk terus belajar dan membuktikan kemampuan diri.

Saya terima sahaja komen sebab kadang-kadang apa yang mereka cakap itu betul. Jadi saya cari jalan untuk perbaiki skil lakonan.

“Alhamdulillah, selepas beberapa projek, pengarah dan rakan seperjuangan mula nampak peningkatan. Daripada situlah saya teruskan dan tak pandang ke belakang,” kongsinya.

Duda satu anak itu turut mengakui tidak pernah menjejakkan kaki ke kelas lakonan, sebaliknya belajar melalui pengalaman di set penggambaran.

“Saya tak sempat pergi kelas masa itu. Bila habis satu tawaran, saya ambil yang lain. Saya banyak belajar dengan pelakon senior.

“Di set, saya banyak bertanya dan perhati. Sebab belajar lakonan bukan semestinya dalam kelas saja. Bila tengok pelakon lain jayakan watak, saya ambil sikit-sikit ilmu daripada mereka,” ujarnya.

Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular ke-32 (ABP32) itu kini dikenali sebagai antara aktor popular tanah air dan telah membintangi puluhan drama serta filem sejak 2011. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |