PETALING JAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melahirkan rasa lega apabila rakyat Malaysia yang berjaya keluar dari Iran dijangka tiba di tanah air malam ini.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, khabar gembira itu melegakan semua pihak, khususnya keluarga mangsa dan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan situasi konflik di Asia Barat.
“Saya dimaklumkan bahawa mereka kini sedang dalam penerbangan pulang dan dijangka tiba malam ini. Ini adalah perkembangan yang sangat kami alu-alukan memandangkan situasi di Iran semakin meruncing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Azmi berkata, rakyat Malaysia di Tehran perlu segera digerakkan ke kawasan sempadan, khususnya ke arah Afghanistan, untuk keluar dari negara itu berikutan laluan udara yang tidak lagi selamat digunakan.
“Lapangan terbang sudah tidak lagi boleh digunakan dengan selamat. Satu-satunya pilihan ialah keluar melalui darat. Pemindahan ini memerlukan koordinasi yang rapi antara pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkuasa Iran.
“Saya percaya Iran akan memberikan kerjasama kerana mereka faham keadaan rakyat asing yang kini berada dalam situasi sangat berisiko,” katanya.
Beliau turut memaklumkan jumlah rakyat Malaysia di Iran tidak ramai, namun tindakan kerajaan mengarahkan pemindahan adalah langkah yang wajar dan tidak boleh dipandang ringan.
“Saya difahamkan ada segelintir pelajar yang enggan pulang, namun itu adalah keputusan peribadi. Dalam keadaan begini, nyawa dan keselamatan adalah keutamaan dan kerajaan tidak ada banyak pilihan selain memastikan semua rakyat Malaysia dikeluarkan secepat mungkin,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kumpulan rakyat Malaysia yang telah berjaya keluar dari Iran kini dalam perjalanan pulang ke tanah air dan dijangka tiba pada pukul 10.50 malam ini.
Menurut Wisma Putra, mereka menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5-647 dan kini sedang transit di Bangkok, Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia.
Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH781 yang dijadualkan mendarat malam ini. -KOSMO! ONLINE