PETALING JAYA – “Mana tahu ‘gaya tudung Prof. Zarina’ (boleh) jadi trend terkini”.
Itu reaksi seorang wanita dipercayai merupakan adik ipar kepada Penyelaras Program APEL.Q, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (FTSM UKM), Profesor Dr. Zarina Shukur yang tular di media sosial, semalam.
Menggunakan profil Mas Ayuzie Jamaludin di Facebook, wanita itu berkongsikan bahawa kakak iparnya itu (Prof. Zarina) tidak ‘melatah’, cuma terkejut kerana dirinya menjadi perhatian ramai.
“Lain macam tular kakak ipar saya hari ini (semalam). Tak pasti berapa tanda suka, komen dan perkongsian. Saya cakap dengan dia, ‘Lepas ni Kak Ina keluar kena pakai pelitup muka’. Haha, kelakar baca komen!
“Kak Ina cool (tenang) je, cuma terkejut boleh menjadi satu bahan cerita tular di Malaysia hari ini,” kongsinya, semalam.
Perkongsian tersebut sekali lagi meraih perhatian orang ramai yang menyifatkan beliau sebagai individu ceria, merendah diri dan mempunyai identiti tersendiri.
“Prof. ni nampaknya seorang yang ceria. Semua wajahnya senyum,” ujar seorang pengguna.
“Orang bijak pandai memang akan ada penampilan tersendiri. Orang macam ni biasa sangat merendah diri. Hebat Prof.,” kata yang lain.
Terdahulu, Prof. Zarina mengajak orang ramai menyunting gambar beliau menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) mendapat perhatian ramai.
Ia susulan tularnya satu hantaran di media sosial ‘Computing at FTSM UKM’ memaparkan ucapan tahniah di atas pelantikan semula Prof. Zarina sebagai Penyelaras Program APEL.Q, disertai gambar rasmi beliau dengan gaya tudung yang menjadi bualan ramai.
Secara berseloroh, beliau memberikan cabaran kepada para pelajar, alumni dan orang ramai untuk menghasilkan versi gambar yang lebih kemas menggunakan teknologi AI. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
8














































