KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu obses dengan watak Malik dalam filem Blood Brothers: Bara Naga, pelakon Irfan Zaini berdepan detik cemas apabila seorang wanita dipukul hingga berdarah oleh peminat fanatik hanya kerana bergambar dengannya.
Ujar Irfan atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 30, insiden tersebut berlaku ketika dia berada di Kuching, Sarawak bagi tujuan promosi filem terbabit.
“Memang tak dinafikan, sejak nama saya mula dikenali, ada juga peminat yang fanatik.
Malah baru-baru ini ada seorang peminat ambil gambar dengan saya. Tapi bila dia ke tandas, ada seorang perempuan ikut dan belasah dia sampai berdarah. Dia tak kenal pun individu yang pukul.
“Paling mengejutkan, peminat tu beritahu penyerang sempat beri amaran ‘Malik tu milik aku!’ ,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dedahnya lagi, mangsa kemudian menghantar gambar keadaan wajahnya yang cedera sebagai bukti, sekali gus membuatkannya tergamam.
Bila tengok gambar darah tu, saya terus hilang kata-kata. Saya cuma mampu pesan supaya dia jaga diri dan buat laporan polis.
“Saya tak mahu dia pula bertindak di luar kawalan,” ujarnya pada majlis tayangan drama Astro Originals, Honey Trap, di sini, malam tadi.
Enggan perkara sebegitu terjadi lagi, Irfan menasihati semua pemuja bakatnya agar tidak bertindak melulu hanya kerana terlalu meminatinya.
“Saya hargai semua. Tak bermakna siapa ambil gambar tu lebih penting daripada yang lain. Semua sama. Kalau boleh saya nak layan semua, tapi tak terdaya.
“Saya harap lakonan saya cukup menjadi hadiah buat semua. Kalau betul sayang saya, jangan sampai sakiti orang lain.
Tak perlu tunjuk cinta dengan kekerasan. Saya memang tak sokong keganasan. Kita semua dewasa, jagalah batas,” luahnya.
Terbaharu, Irfan bakal muncul menerusi siri premium terbaru terbitan Astro Originals berjudul Honey Trap, sebuah naskhah thriller perisik wanita berlatarkan dunia politik yang menjanjikan aksi mendebarkan dan emosi bergelora.
Siri itu turut dibintangi Nina KSC, Syarul Ezani, Ungku Ismail, Ayez Shaukat Fonseka, Amyza Aznan dan Michael Chen. – KOSMO! ONLINE