KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat lonjakan membanggakan dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia 2025 apabila naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu merupakan rekod terbaik sejak lima tahun lalu.
Beliau berkata, itu merupakan petunjuk jelas bahawa usaha reformasi Kerajaan Madani sedang membuahkan hasil.
“Kita buktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta.
“Prestasi memberangsangkan dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan di laman X di sini hari ini.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah antara asas penting dalam perjalanan negara untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033. – KOSMO! ONLINE