Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati tema sambutan HKHM 2026

8 hours ago 6

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM2026) akan mengangkat tema Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati yang mana antara sambutannya dijadualkan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos depan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemilihan tema itu memberi gambaran visi kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni yang bermaksud setiap individu dapat menikmati kesejahteraan secara menyeluruh.

“Fokus utama tema ini adalah untuk memastikan bahawa kesejahteraan bukan hanya dikecapi oleh golongan tertentu, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan turut menyeru pengamal media agar menyebarluas tema sambutan HKHM 2026 agar semangat penghayatan dapat diterapkan kepada setiap lapisan masyarakat dengan kemuncaknya dizahirkan semasa sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos serta Hari Malaysia pada 16 September.

Katanya, Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 akan diadakan di Ipoh, Perak pada 18 Julai, manakala Sambutan Hari Malaysia akan berlangsung di Sarawak pada 16 September.

“Pemilihan Sambutan Hari Malaysia 2026 di Sarawak adalah bertepatan dengan amalan penggiliran tahunan lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan matlamat untuk memperkukuh semangat kebersamaan serta perpaduan antara semua wilayah di negara ini.

“Saya turut menggesa rakan-rakan media untuk memperbanyak penyampaian kandungan yang berteraskan nilai kenegaraan dan semangat patriotisme kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Usaha ini penting bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara serta memperkukuh jati diri nasional khususnya sempena sambutan bulan kebangsaan yang bakal menjelang,” katanya.

Tambahnya lagi, program dan aktiviti sepanjang sambutan HKHM 2026 boleh diperoleh menerusi portal rasmi Merdeka360.

Mengulas mengenai kelainan yang bakal ditampilkan pada sambutan tahun ini, beliau berkata, terdapat beberapa elemen unik yang sedang dirancang, namun masih terlalu awal untuk didedahkan.

“Untuk maklumat semua, program dan aktiviti sepanjang bulan kebangsaan tetap disambut dengan meriah walaupun dilaksanakan secara sederhana,” katanya.

Bagi merancakkan sambutan HKHM 2026, Fahmi berkata, tujuh program sisipan dan aktiviti patriotik disusun di seluruh negara iaitu Kembara Bahasa HKHM, Quran Hour, Ambang Merdeka, Kira Detik Merdeka, RIUH Merdeka serta Majlis Memperingati Negawaran. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |