KUALA LUMPUR – Malaysia berkemungkinan menjadi pengimport gas asli cecar (LNG) dalam tempoh lima tahun akan datang memandangkan lonjakan permintaan tenaga elektrik di negara ini yang dianggarkan pada paras 6.5 peratus setahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, pihaknya sudah pun bersedia untuk menghadapi senario berkenaan dan kini sedang berusaha untuk mewujudkan terminal regasifikasi ketiga, selepas di Melaka dan Johor.
“Walaupun kami mengekalkan kedudukan lebihan di Malaysia Timur untuk mengeksport LNG kepada rakan kongsi jangka panjang untuk keselamatan tenaga mereka, keperluan serta permintaan tenaga di Semenanjung sememangnya berkembang.
“Bergantung dengan reformasi gas, kita boleh menjangkakan bahawa dalam empat atau lima tahun akan datang, akan ada pergantungan yang semakin meningkat pada pengimportan LNG,” katanya dalam sidang akhbar sempena persidangan Energy Asia 2025 di sini.
Tambah Muhammad Taufik, lonjakan harga minyak dunia daripada AS$65 (RM274.95) kepada AS$75 (RM317.25) dalam tempoh singkat membuktikan betapa sensitifnya pasaran terhadap krisis geopolitik serantau.
“Petronas sendiri mempunyai operasi di Iraq dan ada menempatkan kakitangan di Abu Dhabi. Ini satu tanggungjawab besar yang ramai tidak sedari.
“Kita sering ambil mudah soal bekalan tenaga.
“Saya ingin tegaskan mesej yang turut ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Saudi Aramco, Amin Nasser supaya jangan sesekali memperkecilkan kepentingan ketersediaan bekalan tenaga ketika krisis.
“Ini bukan soal harga semata-mata, tetapi soal kelangsungan sistem tenaga secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi S&P Global, Daniel Yergin berkata, premium harga bahan api yang disaksikan sekarang adalah berpunca daripada risiko geopolitik yang semakin meningkat, dan bukannya gangguan dari segi bekalan.
“Sudah tentu keadaan boleh berubah pada bila-bila masa, namun dalam pengetahuan kami buat masa ini, tiada gangguan pada bekalan minyak.
“Salah satu cara yang paling asas untuk mendapatkan daya tahan dalam sistem tenaga ialah dengan mempelbagaikannya,” katanya. -KOSMO! ONLINE