KUALA LUMPUR – Ragbi Malaysia (MR) melakar sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai tuan rumah pertama bagi menganjurkan Kejohanan Ragbi 15 Sebelah (15’s) Wanita Persekutuan Ragbi Asia Tenggara (SEARF) tahun depan.
Kejohanan yang menggunakan format liga sepusingan (round robin) melibatkan tiga pasukan termasuk Malaysia, Filipina dan Singapura akan berlangsung di sekitar Lembah Klang pada 1, 4 dan 7 Februari 2026.
Ahli Majlis MR, Shahizam Tukiran berkata, Malaysia mengambil inisiatif dengan menawarkan diri sebagai tuan rumah selepas mengambil kira Singapura dan Filipina sudi untuk datang beraksi di Kuala Lumpur.
“Kita sudah membincangkan perkara ini pada mesyuarat Exco dan secara dasarnya, kita bersetuju untuk mengadakannya di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Melihat pada fasiliti dan sokongan semua, kita harap ia jadi kenyataan.
“Sebenarnya kita menawarkan diri (tuan rumah) kerana Filipina dan Singapura sudah sudi untuk datang ke sini mengambil bahagian. Dengan kerjasama semua pihak, perkara ini dapat berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kejohanan Liga 15’s Wanita SEARF di Petaling Jaya, semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung MR, Fahmy Jalil serta Presiden Ragbi Filipina, Ada Milby dan Ahli Majlis Ragbi Singapura, Angelina Liu.
Pada masa sama, beliau turut menjelaskan pemilihan pemain sedang berlangsung dengan beberapa kejohanan seperti Liga Kelab Ragbi Selangor (KRS) menjadi perhatian pasukan negara.
Tambah Shahizam, Liga KRS itu juga menjadi medan buat MR untuk menilai prestasi pemain-pemain sukan lain yang dilihat memiliki potensi untuk diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan.
“Pemilihan pasukan sebenarnya sedang bermula dari sekarang kerana kalau anda semua tengok, Liga Selangor sedang berlangsung. Kebanyakan pemain kebangsaan beraksi pada saingan liga berkenaan.
“Dalam Liga KRS ini, kita dapat juga pemain-pemain dari sukan lain yang bermain bola jaring dan sebagainya untuk menyertai ragbi. Mungkin itu salah satu peluang untuk jurulatih melihat pemain-pemain serta bakat baharu untuk menyarung jeris kebangsaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE