Malangnya jadi adik diva, tersorok di belakang kakak

6 hours ago 3

INDUSTRI Bollywood sememangnya terkenal dengan budaya nepotisme dalam kalangan bintang-bintangnya.

Mereka yang mempunyai pertalian darah dengan pemain industri, pasti akan menemui jalan mudah untuk menembusi industri perfileman di India.

Ramai bintang yang mempunyai pertalian adik- beradik, sepupu, anak saudara dan sebagainya.

Namun, tidak semua ahli keluarga yang terlibat dalam industri Bollywood berjaya. Jika ada pun hanya beberapa kerat sahaja.

Sebagai contoh Karisma Kapoor dan Kareena Kapoor. Kedua-dua mereka berjaya menempa nama dalam industri Bollywood di zaman yang berbeza.

HibGlam minggu ini menyenaraikan pasangan adik-beradik yang tidak senasib dalam dunia lakonan.

Kajol dan Tanisha

KAJOL tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia merupakan antara pelakon paling dikenali peminat filem Bollywood. Deretan filem hebat antaranya, Dilwale Dulhania Le Jayenge dan Kuch Kuch Hota Hai berjaya meletakkan Kajol sebagai antara pelakon wanita paling disegani.

Namun, berbeza pula dengan adiknya iaitu Tanisha. Tanisha memulakan debut dalam bidang lakonan menerusi filem Sssshhh… pada 2003 di samping Dimo Morea. Filem tersebut gagal di pawagam begitu juga dengan kerjaya Tanisha yang terus suram biarpun terlibat dengan beberapa filem selepas itu. Namun, semuanya tidak menjadi.

Biarpun adiknya gagal, sepupu Kajol iaitu Rani Mukherjee berjaya memahat nama sebagai antara superstar di Bollywood setanding dengan Kajol.

Shilpa Shetty dan Shamita Shetty

NAMA Shilpa mula menjadi perhatian peminat filem Bollywood selepas dia membintangi filem box office, Baazigar bersama Shah Rukh Khan dan Kajol. Selepas itu pelakon bertubuh cantik itu mencipta fenomena tersendiri menerusi filem Dhadkan di samping Akshay Kumar dan Sunil Shetty.

Adiknya Shamita Shetty pernah meraih perhatian pada tahun 2000 menerusi filem Mohabbatein. Namun, siapa sangka itulah satu-satunya filem Shamita yang berjaya.

Kesemua filem yang dibintanginya selepas itu gagal mendapat perhatian penonton sekali gus menenggelamkan kariernya.

Kriti Sanon dan Nupur Sanon

SEJAK debut menerusi filem Heropanti pada 2014, nama Kriti Sanon terus menjadi buruan penerbit filem Bollywood. Kriti antara aktres yang dikatakan ada masa depan cerah kerana memiliki pakej lengkap sebagai pelakon. Pada 2021 Kriti berjaya meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem di National Film Awards berikutan lakonan hebatnya.

Dalam masa sama adiknya, Nupur Sanon juga dilihat cuba menempatkan diri dalam industri perfileman Bollywood.

Namun setakat ini usahanya belum membuahkan hasil. Tambahan pula keluarga mereka tiada pertalian darah dengan penggiat industri Bollywood seperti kebanyakan bintang Bollywood lain.

Nupur hanya berjaya membintangi sebuah filem pada 2023 iaitu Selepas itu dia membintangi drama televisyen berjudul Pop Kaun? Mungkin rezekinya akan lebih menyerlah sebagai pelakon TV.

Malaika Arora dan Amrita Arora

MALAIKA Arora menempa populariti selepas bergandingan dengan Shah Rukh Khan menerusi lagu Chaiyya Chaiyya yang merupakan runut bunyi filem Dil Se… pada 1998.

Biarpun dia bukanlah pelakon gred A di Bollywood, namun namanya sentiasa menjadi tumpuan terutamanya selepas berkahwin dengan Arbaaz Khan yang merupakan abang kepada Salman Khan. Selepas bercerai, Malaika menjalin hubungan cinta dengan aktor yang lebih muda iaitu Arjun Kapoor dan namanya sekali lagi menjadi bualan ramai.

Berbeza pula dengan adiknya, Amrita Arora. Biarpun memiliki raut wajah jelita, Amrita gagal menyerlah dalam industri perfileman. Filem pertamanya iaitu Kitne Door Kitne Paas di samping aktor Fardeen Khan meraih kutipan dan ulasan yang teruk. Hanya ada satu filem lakonannya berjaya di pawagam iaitu Awaraa Paagal Deewana.

Itupun filem yang dibintangi ramai pelakon dan dia bukanlah watak utama.

Katrina Kaif dan Isabelle Kaif

NAMA Katrina Kaif tidak perlu diperkenalkan lagi di India. Sebelum bergelar pelakon dia sudah menempa populariti sebagai peragawati. Deretan filem pecah panggung telah dibintanginya antaranya Ek Tha Tiger disamping Salman Khan, Jab Tak Hai Jaan (Shah Rukh Khan) dan Dhoom 3 (Amir Khan).

Kejayaan yang sama nampaknya sukar diraih adiknya iaitu Isabelle Kaif.

Biarpun sudah beberapa filem dibintanginya termasuk Time To Dance bergandingan dengan Sooraj Pancholi dan Suswagatam Khushamadeed di samping Pulkit Samrad, nama Isabelle seolah-olah tidak wujud di Bollywood.

Mungkin kerana hero gandingannya bukan nama besar atau juga sering dibayangi populariti kakaknya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |