SHAH ALAM – Sejumlah RM4.68 juta agihan fidyah wang saku pelajar diagihkan kepada 15,613 pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan di peringkat sekolah hingga Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Selangor.
Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, ia merupakan salah satu inisiatif membantu pelajar yang layak dalam meneruskan kelangsungan hidup semasa belajar.
Katanya, setiap seorang pelajar itu akan menerima sebanyak RM300 secara one-off sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal) iatu matlamat ‘zero hunger’.
“Kriteria penerima adalah mereka yang tergolong dalam kalangan yang sudah ditetapkan oleh hukum syarak iaitu fakir dan miskin atau miskin sementara yang terkesan akibat musibah.
“Selain itu, agihan Fidyah MAIS wang saku pelajar ialah untuk memperluaskan manfaat kutipan fidyah negeri Selangor kepada penerima,” katanya pada program tersebut, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, secara pecahannya, sejumlah RM1.83 juta diagihkan kepada IPT Awam dan Swasta; RM1.5 juta pada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor; RM1.05 juta pada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); dan RM300,000 pada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Tambahnya, agihan berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) iaitu Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM Shah Alam), UiTM Puncak Alam, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Selain itu, Kolej Politech MARA Bangi, Universiti Selangor (Unisel), Management and Science University (MSU), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengikut bilangan pelajar yang layak.
“Pada tahun lalu, MAIS berjaya mengagihkan fidyah wang saku pelajar berjumlah RM4.84 juta melibatkan agihan kepada 16,139 orang pelajar di seluruh Selangor yang memenuhi syarat penerima agihan wang saku pelajar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE