MENYANTUNI dan mengambil berat kesusahan yang dialami oleh saudara-saudara Islam merupakan satu langkah penting dalam membantu meringankan bebanan hidup mereka.
Sehubungan itu, Pusat Islam Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak telah melaksanakan Misi Kemanusiaan Antarabangsa Madani Kemboja 2025 (MADA’25) baru-baru ini.
Program yang diadakan pada 7 hingga 10 Jun itu telah berlangsung di kampung Potein, Steung, Kemboja.
Misi diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Shamsuri Abdullah.
Menurutnya, acara julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) PUO dan sukarelawan Yadim Ipoh.
“Misi ini juga adalah anjuran bersama dengan rakan strategik PUO iaitu Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Yadim, Persatuan Kebajikan Sukarela Negeri Perak, Nur Hijrah Korban dan Koperasi Politeknik Ungku Omar Berhad.
“Seramai lima pegawai dan kakitangan Politeknik Ungku Omar serta sebelas pimpinan Rakan Siswa Yadim PUO menyertai Delegasi MADA’25 selama empat hari itu,” katanya.
Jelasnya, antara aktiviti utama delegasi adalah menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas makanan kepada 330 keluarga di Kampung Potein, Steung.
Selain itu, sumbangan beras turut diserahkan kepada pihak asrama di Madrasah An-Nikmah Al-Islamiyyah dan sumbangan kit alat tulis kepada 428 pelajar di madrasah tersebut.

Majlis perasmian dan penyampaian sumbangan ini telah disempurnakan Ahli Parlimen Negeri Tbong Khmum, H.E. Maut Yousos @ Yusof Mahmud. Turut hadir Timbalan
Menteri Besar Negeri Thbong Khmum, Kemboja, Ghafur Ahmad @ Mat Ghafur.
Tambah Shamsuri, selain misi asal menyampaikan bantuan, MADA’25 dengan kerjasama Nur Hijrah Korban juga berjaya melaksanakan program ibadah korban dan akikah sebanyak 105 ekor lembu.
“Semua keluarga Muslim yang tinggal di kampung Potein, Steung dan beberapa buah kampung sekitar Thbung Khmum, Kemboja turut menerima agihan daging korban sebanyak dua kilogram setiap keluarga.
“Delegasi juga berpeluang berkonvoi dengan motosikal menyantuni dan menziarahi rumah-rumah asnaf yang daif dan asnaf yang terlantar sakit,” katanya.
Berkongsi lanjut, ujar Shamsuri, pada sebelah malam pula, pihak masjid telah menjemput wakil delegasi untuk menyampaikan tausiah perdana usai solat Maghrib.
“Pada masa sama, program halaqah ukhuwah yang melibatkan kepimpinan pelajar di madrasah dan pimpinan rakan siswa Yadim PUO turut diadakan,” tuturnya.
Terdahulu, ketibaan deligasi MADA’25 di Phnom Penh turut disambut Timbalan Duta Malaysia ke Kemboja, Nur Herzazzila Ghazali dan Mufti Kemboja, Oknha Sos Kamry @
Kamaruddin Yusof di pejabat kedutaan. Aktiviti santai seperti menaiki bot di Sungai Mekong, membeli belah di Phnom Penh’S Central Market (Phsar Thmey) dan pengalaman menaiki tuk-tuk melengkapkan misi ini.
Tegas Shamsuri, MADA’25 bukan sekadar misi kemanusiaan tetapi manifestasi ukhuwah sejagat dan komitmen pelajar serta warga politeknik terhadap tanggungjawab global.
Bagi Nur Sumayyah Mohd. Yusof yang merupakan Timbalan Presiden Majlis Pimpinan Rakan Siswa Yadim
Kebangsaan merangkap Pengerusi Rakan Siswa Yadim PUO, dia menyifatkan misi kemanusiaan tersebut sangat bermakna buatnya.
“Saya pergi dengan harapan ingin memberi. Saya pulang dengan hati yang penuh menerima. Misi ini terlalu indah, mendalam dan sangat bermakna,” katanya.