M&G catat untung sebelum cukai RM50.3 juta

7 hours ago 8

PETALING JAYA – Marine & General Berhad (M&G) merekodkan hasil sebanyak RM343.9 juta bagi tahun kewangan 2026, hampir menyamai RM352.1 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM50.3 juta, menonjolkan keupayaan syarikat mengekalkan pendapatan meskipun berdepan ketersediaan kapal yang lebih rendah serta peningkatan aktiviti dok.

“Bagi tempoh setahun, kadar penggunaan armada bahagian huluan dan hiliran masing-masing ialah 71 peratus dan 83 peratus.

“Bahagian huluan kekal sebagai penyumbang utama dengan 83 peratus daripada hasil kumpulan, manakala bahagian hiliran menyumbang 16 peratus dan selebihnya daripada aktiviti lain,” katanya.

Untuk suku berakhir 30 April 2026, M&G mencatatkan hasil RM66.7 juta berbanding RM93.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai pula berjumlah RM3.7 juta, menurun daripada RM9.3 juta yang dicatatkan setahun lalu.

Penurunan ini turut dipengaruhi oleh ketiadaan keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan kapal bernilai RM5.2 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

Sepanjang tahun, bahagian huluan merekodkan hasil RM286 juta, sedikit meningkat berbanding RM284.4 juta tahun sebelumnya, disokong oleh kadar sewaan yang lebih tinggi. PBT bahagian ini meningkat 3.8 peratus kepada RM49.6 juta.

Bagi suku tahun, hasil menurun 31  peratus kepada RM53.3 juta berikutan kadar penggunaan kapal lebih rendah, namun keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM1.6 juta hasil pengurangan kos operasi.

Bahagian hiliran pula mencatatkan hasil RM55.5 juta bagi tahun kewangan 2026, menurun 18 peratus berbanding RM67.6 juta tahun sebelumnya.

PBT bahagian ini susut kepada RM5.5 juta daripada RM9.4 juta, sebahagian besarnya disebabkan ketiadaan keuntungan pelupusan kapal yang direkodkan pada tahun lalu.

M&G menjangkakan prospek sederhana bagi tahun kewangan akan datang, dengan tumpuan kepada kecekapan operasi dan pengoptimuman armada.

Walaupun industri berdepan tekanan daripada peralihan tenaga, kos pematuhan ESG yang lebih tinggi serta ketidaktentuan ekonomi global, kumpulan kekal optimis terhadap permintaan sederhana dalam sektor minyak dan gas huluan serta kestabilan pasaran kapal tangki domestik. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |