JAKARTA – Banjir dan tanah runtuh berhampiran lombong emas tinggal di kawasan terpencil di timur Indonesia mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, manakala pasukan penyelamat masih mencari lebih 12 mangsa hilang, kata beberapa pegawai hari ini.
Hujan lebat beberapa jam mengakibatkan bencana tanah runtuh dan banjir di wilayah Papua Barat malam Jumaat lepas, kata ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Yefri Sabaruddin kepada AFP.
“Maklumat terkini menunjukkan enam orang meninggal dunia dan 14 orang masih hilang,” katanya.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana(BNPB), Abdul Muhari berkata, air banjir mengenangi kem yang digunakan oleh pelombong.
“Air dari hulu melanda kawasan perumahan sementara pelombong emas tradisional sekitar pukul 9 malam dan menghanyutkan khemah-khemah serta peralatan mereka,” kata Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, empat orang cedera dan telah menerima rawatan awal daripada penduduk tempatan tetapi tiada kerosakan besar lain dilaporkan.
Melombong tanpa lesen menjadi perkara biasa di negara kepulauan Asia Tenggara yang kaya dengan mineral itu di mana tapak-tapak terbiar menarik penduduk tempatan untuk melombong saki baki bijih emas tanpa peralatan keselamatan.
Usaha menyelamat bagaimanapun terhalang oleh lokasi terpencil, dengan anggota polis, tentera dan orang awam mengambil masa sehingga dua jam untuk sampai ke lokasi kejadian termasuk satu jam berjalan kaki, kata Yefri.
Indonesia terdedah kepada bencana tanah runtuh semasa musim hujan, biasanya antara November hingga April setiap tahun.
Tanah runtuh di lombong emas haram di Sumatera Barat pada September 2024 mengorbankan 13 orang dan mencederakan 12 yang lain. – AFP