KOTA BHARU – Nasib lima beradik di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh yang hidup serba daif apabila menjadi yatim piatu dalam tempoh kurang setahun selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia terbela apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) meluluskan bantuan bulanan dan peruntukan membaik pulih rumah keluarga itu.
Pegawai Agihan Zakat Maik, Siti Farahida Fauzi berkata, kisah menyayat hati keluarga tersebut yang terpaksa mengikat perut dengan hanya menjamah nasi dan telur rebus sekali sehari selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa akibat penyakit kronik telah sampai ke pengetahuan Maik.
Menurutnya, pasukan Maik bertindak turun padang menziarahi keluarga berkenaan semalam dan menyalurkan sumbangan segera sebanyak RM2,000 selain meluluskan bantuan bulanan RM500.
“Bantuan bulanan itu disalurkan bagi menampung keperluan asas dan perbelanjaan harian termasuk kebajikan Nur Alia Natasha Mohd. Fauzi, 18, dan empat adiknya.
“Bagi memberi keselasaan kepada lima beradik itu, Maik juga akan membaik pulih rumah mereka seperti yang dimohon oleh Nur Alia Natasha,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siti Farahida memberitahu, selain bantuan kewangan, Maik turut mengambil pendekatan dengan memperkenalkan imam kepada keluarga berkenaan supaya sebarang masalah atau keperluan mendesak dapat dirujuk dengan lebih cepat dan diselesaikan segera.
Katanya, semoga sumbangan zakat tersebut dapat membantu mengurangkan bebanan keluarga itu sekali gus dan membolehkan adik-beradik Nur Alia Natasha bersekolah dengan baik.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, lima beradik di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh mengharungi kehidupan serba daif apabila menjadi yatim piatu dalam tempoh kurang setahun selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat penyakit kronik.
Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut dengan hanya makan nasi berlauk telur rebus sekali sehari selain bergantung kepada ihsan jiran apabila kehabisan bekalan makanan.
Nur Alia Natasha kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan menjaga empat adiknya iaitu Nur Aleeya Balqis, 17, Muhammad Faris, 13, Muhamad Amin, 10, dan Nur Eryna Imani, 5.
Menurut Nur Alia, ibunya, Siti Roziana Muda, 39, meninggal dunia pada 1 Oktober tahun lalu akibat komplikasi paru-paru dan kencing manis diikuti bapanya, Mohd. Fauzi Mat Zain, 51, akibat serangan jantung pada 23 April lalu. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
6















































