Dari malam tadi tak putus kenderaan masuk lebuh raya

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh Semenanjung dilaporkan perlahan petang ini susulan hujan di kebanyakan kawasan Lembah Klang selain pertambahan kenderaan sempena cuti hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Keadaan ini juga dilihat berterusan sejak malam tadi apabila anak perantau mengambil peluang pulang ke kampung dan membawa keluarga bercuti selain mahu membuat persiapan awal sempena Hari Raya Aidiladha, Rabu depan.

Menurut Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), setakat pukul 5.30 petang tadi, kesesakan dilaporkan di beberapa lokasi di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara antaranya selepas Gua Tempurung ke Persimpangan Gopeng, Alor Pongsu ke Bandar Baharu, Jawi ke Bandar Cassia, Juru ke Perai serta Bertam ke Sungai Petani.

Katanya, bagi arah selatan pula, trafik perlahan dikesan dari Perai ke Juru dan Hospital Sungai Buloh ke Bukit Lanjan.

Selain itu, di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), aliran trafik arah utara turut perlahan dari Lebuh Raya Pasir Gudang ke Dato’ Onn, Kulai ke Sedenak, Yong Peng ke Pagoh, Senawang ke Port Dickson serta Southville City ke Kajang.

“Trafik juga perlahan selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar,” katanya hari ini.

Di Tambak Johor, kesesakan berlaku di kedua-dua arah melibatkan laluan dari CIQ Woodlands ke CIQ Sultan Iskandar, Johor Bahru dan sebaliknya.

Sementara itu, di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, trafik arah timur perlahan dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi.

Bagaimanapun, trafik di Lebuh Raya Pantai Timur 1 dan 2 (LPT1 dan LPT2) serta Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dilaporkan masih lancar di kedua-dua arah.

LLM mengingatkan orang ramai supaya merancang perjalanan, mematuhi arahan trafik dan sentiasa berhati-hati ketika memandu dalam keadaan hujan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |