SUNGAI PETANI – Seorang peniaga air balang terpelanting sejauh kira-kira 100 meter sebelum maut dalam keadaan mengerikan setelah terkena serpihan tong gas helium yang meletup di tapak ekspo makanan berhampiran Dataran Jam Besar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, mangsa, peniaga air kopi balang, Azmi Ahmad, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas putus tangan kanan selain cedera parah di bahagian perut.
Selain mangsa, seorang peniaga berusia 49 tahun pula parah di bahagian perut, manakala dua lagi peniaga yang berumur 16 dan 36 tahun cedera ringan akibat terkena serpihan tong gas yang sama.
Mangsa yang cedera dalam kejadian itu, Khairul Shakirin Saad, 36, berkata, 10 minit sebelum kejadian berlaku, dia sedang berbual dengan mangsa serta beberapa rakan peniaga lain di belakang sebuah khemah berdekatan tandas awam di tapak ekspo itu.
“Selepas habis berbual, saya dan rakan kemudian bergerak ke khemah jualan masing-masing sebelum berlaku satu letupan kuat dari arah tandas yang dipercayai berpunca daripada letupan satu tong gas helium yang diletakkan peniaga belon di situ.
“Serpihan kecil tong gas yang berterbangan itu terkena pinggang saya dan dua rakan lain, manakala mangsa yang sedang berjalan pula terpelanting sejauh lebih kurang 100 meter ke dalam sebuah gerai akibat terkena serpihan lebih besar,” katanya.
SEORANg peniaga yang maut dalam kejadian letupan tong gas helium di tapak ekspo makanan berhampiran Dataran Jam Besar, Sungai Petani semalam.Menurut peniaga air balang itu, beberapa buah kereta yang diparkir berdekatan lokasi kejadian turut rosak akibat terkena serpihan tong gas helium.
Katanya, beberapa peniaga bersama pengunjung ekspo cuba memberikan bantuan kepada dua lagi peniaga yang cedera, manakala Azmi yang baru petang kelmarin menyertai karnival itu dilihat tertiarap dengan kesan kecederaan parah pada perut dan tangannya.
“Saya yang dibantu rakan kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berhampiran sebelum ketibaan pihak polis sejurus kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan orang awam, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal, pihak kami menemukan seorang lelaki terbaring dengan kesan kecederaan parah di perut dan tangannya. Mangsa telah disahkan meninggal dunia.
“Selain tiga mangsa yang tercedera dalam kejadian itu, kita percaya terdapat peniaga lain atau pengunjung yang turut mengalami kecederaan ringan, tetapi mereka telah meninggalkan tapak ekspo,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut polis kemudian membawa kepada penahanan dua lelaki berumur 20-an dan 40-an yang dipercayai peniaga belon serta pemilik tong gas itu.
“Kedua-dua mereka telah ditahan kerana dipercayai boleh membantu siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, manakala siasatan kematian Azmi diklasifikasikan sementara sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah dan kita berharap saksi lain tampil untuk membantu melengkapkan siasatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

9 hours ago
6

















![[VIDEO] Kami dipukul, dicabul, direnjat – Peserta Sumud](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/efa607c1-337b-4e4b-9541-fd65320bd45d.jpeg)





























