PETALING JAYA – Pas mengulangi hasrat untuk kembali bekerjasama dengan UMNO bagi memperkukuhkan perpaduan orang Melayu dan Islam selepas timbul cadangan pembentukan gabungan politik baharu yang lebih besar melibatkan parti-parti Melayu.
Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan Pas Melaka, Khairuddin Abu Hassan berkata, Pas dan UMNO perlu mencari formula terbaik untuk kembali bertaut demi memastikan masa depan orang Melayu serta kedudukan Islam terus terpelihara.
Menurutnya, kedua-dua parti itu tidak lagi boleh terus terperangkap dengan perbalahan lama, sebaliknya perlu memandang ke hadapan demi kepentingan bangsa dan negara.
“Pas serta UMNO boleh menjadi pemangkin untuk menghimpunkan semua parti politik Melayu di bawah satu bumbung perjuangan melalui konsep ‘Payung Besar’ yang pernah disarankan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Segala kepentingan serta hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan juga perlu terus dipelihara bagi menjamin perpaduan nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairuddin berkata, Pas selama ini konsisten memainkan peranan mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat kedudukannya.
Menurutnya, tanggungjawab sama perlu dipikul secara bersama oleh UMNO, parti-parti politik Melayu lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Perbalahan sesama Melayu mesti dihentikan segera sebelum malapetaka besar menimpa keseluruhan bangsa kita.
“Orang Melayu hari ini mahu melihat perpaduan yang kukuh sebagai satu ikatan yang tidak mudah dirungkai oleh mana-mana pihak,” ujarnya.
Tambahnya, sikap Pas yang terus membuka ruang kerjasama dengan UMNO demi agenda perpaduan Melayu wajar dipuji dan diteruskan.
Katanya, Pas kekal komited dalam usaha menyatupadukan orang Melayu secara menyeluruh dan berterusan seperti yang sering disarankan oleh Dr. Mahathir. – KOSMO! ONLINE.

15 hours ago
10













































