Lelaki didakwa langgar dua remaja hingga maut, turut dituduh edar dadah

9 hours ago 3

TEMERLOH – Seorang lelaki yang tular melibatkan kemalangan di persimpangan lampu isyarat di sini didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah serta melanggar dua remaja perempuan sehingga mati.

Tertuduh, Chun Kok Keong, 38, yang memakai pakaian lokap berwarna oren bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tan Chiew King.

Menurut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh kira-kira pukul 10.50 malam pada 11 Jun 2025 di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail di Temerloh sebagai pemandu kereta telah didapati memandu dengan cara bahaya setelah mengambil kira tentang segala hal keadaan termasuk jenis, keadaan, saiz jalan dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan ada atau mungkin ada di jalan.

Bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa menyebabkan kematian kepada Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri dan menyebabkan kematian Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman bagi pertuduhan kedua.

Mengikut pertuduhan ketiga pada pukul 12.30 tengah malam pada 12 Jun 2025 di hadapan lobi Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh telah didapati mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 50.85 gram.

Bagi pertuduhan terakhir tertuduh pada pukul 12,30 tengah malam pada 12 Jun 2025 di hadapan lobi IPD Temerloh telah didapati memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar 0.85 gram.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin dan Siti Sarah Aqilah Lokman, manakala tertuduh diwakili wakil Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Fatimah Mohd Shahril.

Bagaimanapun Kok Keong tidak boleh diikat jamin hari ini berikutan telibat dengan kesalahan yang tidak boleh dijamin membabitkan dakwaan mengedar dadah.

Mahkamah menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala pertuduhan ketiga dan keempat ditetapkan 17 Julai depan selain syarat tambahan lesen memandu digantung hingga selesai perbicaraan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |