PETALING JAYA – Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan media berkata, kadar purata tarif asas diselaraskan bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) ditetapkan pada kadar 45.40 sen sekilowatt-jam (kWj)
Jelas kenyataan itu, dengan pelarasan tersebut, purata kos keseluruhan tarif elektrik akan berkurangan sehingga 19 peratus berbanding RP3.
“Kadar purata tarif asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada bulan Disember 2024.
“Penetapan tarif ini akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR) selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Jadual tarif baharu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 dan diselaraskan dalam bil elektrik bermula penggunaan bulan Julai 2025,” kata kenyataan itu hari ini.
ST berkata, pengenalan jadual tarif baharu itu meliputi perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan rendah, sederhana atau tinggi.
Kata ST, ia turut meliputi penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan.
“Insentif Cekap Tenaga akan diperkenalkan sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah.
“Melalui insentif ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu,” kata kenyataan itu.
ST berkata, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif berkenaan.
Selain itu, kata ST, skim Masa Penggunaan (TOU) telah diselaras dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan Sabtu, Ahad dan 10 malam sehingga 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.
Jelas ST, ia bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga yang lebih cekap dan lestari.
“Sekiranya pengguna menggunakan waktu di luar puncak, pengguna pengguna dapat menjimatkan bil elektrik berbanding penggunaan ketika waktu puncak,” jelas ST.
ST berkata, bagi mmastikan aspek sosial dan kebajikan dipelihara, kerajaan bersetuju tarif spesifik digunakan bagi kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan serta operator rel atau traction.
Selain itu, kata ST, pemberian rebat sebanyak 10 peratus akan diberikan bagi institut berdaftar pengajian tinggi, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat.
“Penerusan Program Rebat Bil Elektrik RM40 iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Semua pengguna akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci. Susulan pelaksanaan jadual tarif baharu ini, majoriti pengguna dijangka tidak terkesan.
“Malah, pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE